
Dalam keterangannya, Lim Hwee Bin berkata, tidak lama selepas Ng bekerja untuk bekas pegawai bank Goldman Tim Leissner pada pertengahan 2000, dia melabur sebanyak 48 juta yuan – kira-kira USD6 juta pada masa itu menerusi sebuah syarikat China dimiliki oleh keluarga isteri Leissner, Judy Chan.
Katanya, dia dan Chan bertengkar pada 2011, dan Chan memberitahunya supaya melepaskan bahagiannya yang telah meningkat dengan ketara. Pada 2012, Chan memberitahunya bahawa dia bersedia untuk memindahkan USD26 juta, kata Lim dalam keterangan.
Ketika ditanya oleh peguam Ng, Marc Agnifilo, sama ada wang yang Chan katakan akan dihantar kepada Lim itu datangnya daripada 1MDB, Lim membalas: “Tidak sama sekali.”
“Ia mesti datang daripada Judy dan keluarganya,” katanya.
Peguam Chan tidak memberi maklum balas segera untuk ulasan.
Keterangan Lim diberikan pada hari kedua kes pembelaan dalam perbicaraan itu yang bermula awal Februari.
Ng, bekas ketua Goldman di Malaysia, didakwa bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.
Menurut pendakwa raya, dia membantu Leissner menggelapkan wang daripada 1MDB, melakukan penggubahan hasil wang itu dan menyogok pegawai bagi mendapatkan perniagaan untuk Goldman. Dia berhujah bahawa sebahagian daripada USD35 juta yang diterima daripada Leissner, yang disifatkan oleh pendakwa raya sebagai sogokan daripada rancangan itu sebenarnya adalah hasil kerjasama perniagaan yang sah antara isteri mereka.
Leissner, yang mengaku bersalah pada 2018 atas dakwaan sama, memberi keterangan pada Februari bahawa pelaburan Lim dalam perniagaan Chan hanyalah “cerita rekaan” yang dibuatnya dan Ng untuk menjelaskan bayaran sogokan itu supaya bank yang memproses dana itu tidak berasa curiga.
Dakwaan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah. Pendakwa raya AS berkata, sebanyak USD4.5 bilion daripada USD6.5 bilion dikumpul untuk 1MDB telah dialihkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan sekutu mereka menerusi rasuah dan sogokan.
Pada 2020, Goldman membayar denda hampir USD3 bilion dan mengatur unitnya di Malaysia untuk mengaku salah di mahkamah AS.