
Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST), berkata amaran PAS berhubung tindakan ibu tunggal itu bukan sahaja diibaratkan sebagai “ekstrim dan menghasut”, malah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan termasuk Kanun Keseksaan.
MCCBCHST berkata, menjadi hak Loh Siew Hong membuat permohonan itu di Mahkamah Tinggi bagi mencari remedi atas dakwaan penukaran agama secara tidak sah membabitkan tiga anaknya oleh bapa kandung mereka kepada Islam.
Justeru, hal berkenaan adalah perkara sivil antara ibu dan bapa kepada tiga anak itu.
“Khairil Nizam Khirudin secara tidak mengikut undang-undang dan secara tidak berperlembagaan mengaitkan pandangannya berhubung perkara itu dan cuba mengambil alih kuasa mahkamah,” katanya merujuk kepada Ketua Penerangan PAS itu.
Mereka juga menuduh Khairil melakukan ugutan jenayah dan mencetuskan ketidakharmonian dengan mengatakan kedua-dua tindakan itu jatuh di bawah Kanun Keseksaan.
Awal hari ini, Khairil mengeluarkan “amaran” kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk menukar agama anak seorang ibu tunggal itu.
Katanya, keislaman tiga anak itu adalah atas dasar kefahaman, kesedaran dan kerelaan mereka sebagai manusia yang merdeka hasil daripada pengajian serta pendidikan Islam yang dilalui.
Dalam maklum balas berhubung kenyataan Khairil itu, peguam kepada Loh, berkata sebarang percubaan untuk menghentikan permohonan seorang ibu tunggal untuk membatalkan penukaran agama tiga anaknya boleh dianggap sebagai usaha mencampuri urusan perundangan dan menghina mahkamah
MCCBCHST ketika mengulas lanjut, berkata sekiranya Khairil mempunyai sebarang kepentingan dalam perkara sivil itu, beliau sepatutnya memfailkan permohonan untuk mencelah, bukannya membuat ugutan dengan mengambil “tindakan di luar kehakiman yang menyalahi undang-undang terhadap tindakan dilakukan secara sah oleh ibu tunggal terbabit”.
“Khairil sepatutnya menerima realiti bahawa Malaysia mempunyai perlembagaan bertulis yang menjadi undang-undang tertinggi dalam negara dan kepada semua rakyatnya tertakluk tanpa mengira agama diamalkan.
Minggu lalu, Loh yang mendapat hak penjagaan tiga anaknya daripada pihak berkuasa agama Perlis, pada Februari, memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk memohon pengisytiharan tindakan bekas suaminya menukar agama tiga anaknya yang di bawah umur kepada Islam sebagai tidak sah.
Dia juga memohon pengisytiharan peruntukan dalam enakmen Perlis yang membenarkan ibu atau bapa menukar agama kanak-kanak di bawah umur secara unilateral sebagai tidak berperlembagaan.