
Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin berkata, umat Islam di negara ini juga akan bersatu demi menyelamatkan akidah anak tersebut yang telah memeluk Islam.
“PAS pada hari ini ingin memberikan amaran tegas bahawa jangan ada mana-mana pihak yang ingin atau berhasrat menukar agama anak-anak ini. Umat Islam di negara ini akan bersatu demi keselamatan aqidah mereka,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini untuk menyerahkan tiga anak itu kepada Loh hanyalah melibatkan hak penjagaan dan tidak menyentuh isu agama apatah lagi memerintahkan atau membenarkan anak-anak tersebut meninggalkan agama Islam.
“Keislaman mereka adalah atas dasar kefahaman, kesedaran dan kerelaan mereka sebagai manusia yang merdeka hasil daripada pengajian serta pendidikan Islam yang mereka lalui,” katanya
Beliau juga menyeru semua ahli politik, para cendekiawan, mufti, pendakwah, NGO serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam supaya bersatu dan senada dalam isu keselamatan aqidah anak-anak wanita itu.
Sebelum ini Loh yang juga ibu tunggal yang mendapat hak penjagaan tiga anaknya yang masih bawah umur daripada pihak berkuasa agama Perlis bulan lalu, memohon pengisytiharan bahawa bekas suaminya tidak layak secara sah untuk mengislamkan mereka.
Loh turut memohon pengisytiharan bahawa peruntukan dalam enakmen negeri Perlis yang membenarkan ibu bapa menukar agama anak bawah umur secara unilateral adalah tidak berperlembagaan.
Wanita itu juga mahu pengisytiharan bahawa anak perempuan kembarnya berusia 13, dan anak lelaki berusia 10 tahun adalah beragama Hindu.
Pada 21 Feb, hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan habeas corpus Loh untuk mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya daripada pendakwah, Nazirah Nanthakumari Abdullah.