
Beliau berkata, ia juga melalui proses panjang termasuk rundingan serta perbincangan antara beberapa pihak terbabit.
Katanya, guru terbabit juga sudah dimaklumkan mengenai risiko tindakan menolak untuk divaksin termasuk digantung tugas serta ditamatkan perkhidmatan.
Tonton video di sini.
“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) disarankan mengambil langkah rundingan, perbincangan dan sebagainya. Kita sudah ambil langkah wajar dengan mengingatkan mereka (mengenai risiko) sejak Ogos dan September tahun lalu, yang mana kita panggil mereka seorang demi seorang.
“Selepas beberapa proses, mereka ini masih tegar walaupun sudah ulang kali dimaklumkan mengenai risiko bakal mereka hadapi. Kita hormati pendirian mereka, tetapi ia membawa risiko kepada anak-anak dan guru di sekolah, jadi kita tidak mahu mengambil risiko itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Amirudin berkata, tindakan itu juga dikenakan demi kemaslahatan dan kepentingan awam.
Semalam, Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, seramai 57 guru KAFA di negeri itu yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan, mulai bulan ini.
Beliau berkata, semua guru terbabit diberi masa untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dalam tempoh gantung tugas itu dan sekiranya masih berdegil dan tidak mahu mengambil suntikan vaksin, tindakan tamat perkhidmatan akan dilaksanakan.
Katanya, tindakan itu dibuat berpandukan ketetapan dikeluarkan pihaknya berdasarkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan perkara sama kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.