Masalah air tak berkesudahan, Kelantan dicadang beri diskaun bil 50%

Masalah air tak berkesudahan, Kelantan dicadang beri diskaun bil 50%

Potongan itu bagi meredakan kemarahan rakyat Kelantan yang terkesan dengan masalah air yang melanda sejak beberapa tahun lalu.

ADUN Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata, diskaun bil air itu patut diberikan berikutan kegagalan Air Kelantan Sdn Bhd membekalkan air kepada penduduk.
PETALING JAYA:
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mencadangkan supaya kerajaan Kelantan memberi potongan bil air sebanyak 50% kepada pengguna yang mengalami gangguan bekalan air di negeri itu.

Beliau berkata, potongan itu adalah bagi meredakan kemarahan rakyat negeri ini yang terkesan dengan masalah air yang melanda sejak beberapa tahun yang lalu.

Katanya, seperti di kawasan DUN Galas, dekat Gua Musang, terdapat 3,000 keluarga termasuk 1,500 di Bandar Utama yang terkesan dengan masalah air sejak lebih setahun lalu.

“Masalah air di Bandar Utama Gua Musang (BUGM) kerana disebabkan kelewatan pembinaan loji rawatan air (LRA) di Bukit Chupak. Saya ingat masalah air ini melanda penduduk di kawasan DUN Galas sahaja, namun daerah lain juga mempunyai masalah sama.

“Masalah air ini menjadi barah kepada kerajaan Kelantan dan bagi meredakan kemarahan rakyat, saya cadang kerajaan memberi diskaun bil air sebanyak 50%

“Tidak sepatutnya kerajaan negeri menerima musibah daripada kegagalan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membekalkan air kepada penduduk,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri persidangan DUN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Syahbuddin mencadangkan potongan bil air sebanyak 50% kepada rakyat yang mengalami masalah air dalam perbahasan Titah Diraja pada sidang berkenaan.

Mengulas lanjut, Syahbuddin berharap potongan itu dapat dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.

“Masalah air yang dialami oleh pengguna menunjukkan kegagalan pihak AKSB dan isu ini tidak diselesaikan dengan baik.

“Potongan bil air itu juga sebagai tanda keadilan dan juga sebuah negeri yang berkebajikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.