
Beliau berkata, laporan akhbar British baru-baru ini menunjukkan UK akan menghadapi krisis minyak masak dalam beberapa minggu berikutan bekalan minyak bijian mengalami kekangan akibat perang Rusia-Ukraine.
“Kita amat prihatin dengan situasi di UK dan Eropah susulan keadaan semasa antara Rusia dan Ukraine.
“Oleh itu, sekiranya UK dan negara Eropah lain memerlukan bantuan, kita bersedia membantu dengan membekalkan minyak sawit boleh makan atau minyak masak untuk keperluan domestik dan pembuatan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kemampanan minyak sawit Malaysia adalah mematuhi sepenuhnya Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia yang berdasarkan piawaian minyak sawit mampan Malaysia dan menepati keperluan persidangan meja bulat mengenai minyak sawit mampan antarabangsa.
“Kita melihat ini sebagai keperluan kemanusiaan memandangkan Rusia dan Ukraine secara bersama membekalkan 70% minyak masak bunga matahari kepada dunia,” katanya.
Zuraida berkata, kementerian itu sentiasa menyedari wujudnya propaganda antiminyak sawit oleh beberapa negara Barat.
“Pada masa yang sama, kita tidak membiarkan propaganda yang diputarbelitkan oleh penyokong fahaman perlindungan yang mengelirukan itu dan kita masih mahu menawarkan bantuan kita dalam tempoh mencabar ini,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia telah lama berjuang menentang propaganda antiminyak sawit Barat dan sudah tiba masanya untuk meredakan keadaan itu.
“Malaysia merupakan negara yang prihatin, mesra dan atas sebab itu, kita lebih daripada bersedia untuk menyediakan minyak sawit Malaysia yang penuh dengan kebaikan kepada negara yang terjejas ini,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia bersedia menawarkan bantuan segera kerana tidak mahu melihat mana-mana negara mengalami krisis bekalan minyak masak, sedangkan negara ini merupakan antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia.