Keselamatan siber kekal isu perhatian utama, kata menteri

Keselamatan siber kekal isu perhatian utama, kata menteri

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata jumlah kes direkodkan berkaitan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, dan penipuan e-mel meningkat hampir sekali ganda.

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein bersama Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keselamatan siber kekal sebagai isu yang menjadi perhatian utama di Malaysia susulan peningkatan mendadak kes yang dilaporkan.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, jumlah kes yang direkodkan berkaitan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel meningkat hampir sekali ganda.

Beliau berkata, pada 2019, kira-kira 13,000 kes jenayah siber dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM539 juta dan bilangan itu meningkat kepada 17,000 kes dalam tahun 2020.

Tahun lepas, bilangan kes meningkat kepada lebih 20,000 dengan jumlah kerugian RM560 juta manakala setakat Februari 2022, bilangan kes yang dilaporkan ialah 3,273 dan kerugian yang terlibat berjumlah RM114 juta.

“Banyak ancaman semasa dan baharu muncul membabitkan teknologi baharu yang tidak pernah didengar dalam tempoh sedekad lepas. Pada masa sama, landskap keselamatan negara ketika ini berubah lebih pantas berbanding sebelum ini.

“Oleh itu mengikuti perubahan ini adalah antara cabaran terbesar pertahanan dan keselamatan negara di rantau kita,” katanya ketika berucap pada perasmian Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi.

Selain mempamerkan teknologi dan perkhidmatan terkini, Hamzah berkata, DSA adalah platform penting untuk menggalakkan pembinaan kapasiti dan mewujudkan perkongsian asing yang saling menguntungkan selaras dengan objektif untuk mengukuhkan pertahanan dan keselamatan serantau.

Pameran DSA 2022 dan NATSEC Asia 2022 bermula dari 28 hingga 30 Mac diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein dalam ucapannya berkata, rantau ASEAN ketika ini berdepan pelbagai ancaman serius yang belum pernah terjadi dalam sejarah.

Katanya, acara seperti DSA dan NATSEC memainkan peranan penting sebagai platform untuk menangani ancaman serius itu kerana ia melibatkan penyertaan anggota tentera berpangkat tinggi, perniagaan dan organisasi dari rantau ini dan seluruh dunia – semuanya di bawah satu bumbung.

“Memandangkan negara-negara di seluruh dunia terus menumpukan usaha untuk pulih daripada kesan buruk \Covid-19, kita dalam perniagaan keselamatan mesti sentiasa berwaspada dalam menghadapi ancaman terhadap negara dan rantau kita.

“Ancaman tradisional dan bukan tradisional dalam pelbagai corak dan bentuk perlu ditangani dengan berkesan sebelum ia menjadi semakin parah sehingga menimbulkan bahaya serta membawa bencana kepada negara di seluruh dunia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.