Johor benarkan solat jemaah rapat sejadah, tanpa bersentuhan mulai Jumaat

Johor benarkan solat jemaah rapat sejadah, tanpa bersentuhan mulai Jumaat

Jemaah perlu bawa sejadah sendiri, selain lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, solat Tarawih serta aktiviti sepanjang Ramadan juga dibenarkan.
ISKANDAR PUTERI:
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan membenarkan semua masjid dan surau di negeri ini merapatkan sejadah ketika pelaksanaan solat berjemaah tanpa bersentuhan antara jemaah yang hadir mulai Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, setiap jemaah diminta membawa sejadah sendiri berukuran sekurang-kurangnya 1.06 meter (3.5 kaki) panjang dan 0.6 meter (dua kaki) lebar, selain sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Bagi mengimarahkan bulan Ramadan di masjid dan surau, solat sunat Tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan solat sunat witir tiga rakaat. Imam bertugas digalakkan membaca surah dalam juzuk ke-30 sahaja, manakala imam jemputan perlu mendapatkan surat kebenaran daripada Kadi Daerah terlebih dahulu.

“Edaran bubur lambuk, jamuan majlis berbuka puasa, sahur dan moreh dibenarkan untuk dilaksanakan secara berbungkus sahaja. Kaunter zakat fitrah pula boleh dibuka sebelum atau selepas waktu solat dengan penjarakan satu meter,” katanya pada sidang media selepas majlis Jalinan Kasih bersama pengamal media di sini, hari ini.

Beliau berkata, majlis ucapan serta penyerahan bantuan kepada asnaf dibenarkan di masjid dan surau, namun majlis berkenaan yang dianjurkan oleh parti politik atau wakil rakyat tidak dibenarkan, kecuali melibatkan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dan pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri.

“Aktiviti bermalam di masjid dan surau adalah ditangguhkan, begitu juga aktiviti memasak masih tidak dibenarkan dengan semua jamuan dilaksanakan secara berbungkus, manakala jamuan berhidang dibenarkan sekiranya terdapat program rasmi dengan tidak melebihi 50 jemaah,” katanya.

Berhubung kadar zakat fitrah, Mohd Fared berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menetapkan dua pilihan pada tahun ini, iaitu RM7 dan RM10 seorang, mengikut jenis beras digunakan dengan kaedah pembayaran dibuat menerusi tiga cara, iaitu dalam talian, di kaunter zakat MAINJ setiap daerah dan cawangan atau menerusi 1,648 amil dilantik.

“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor menetapkan kadar RM7 dibayar umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Super Tempatan, manakala RM10 pula dibayar umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras selain daripada jenis Super Tempatan seperti beras wangi, beras basmati dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri Johor menyasarkan unjuran pungutan zakat fitrah tahun ini sebanyak RM18.82 juta dengan 2.1 juta umat Islam di Johor layak membayar zakat fitrah.

Katanya, kutipan zakat fitrah pada tahun lalu adalah sebanyak RM19.9 juta melibatkan 2.179 juta pembayar, manakala kutipan pada 2020 adalah RM16.72 juta dengan 1.98 juta pembayar.

Menurut beliau, MAINJ turut menetapkan kadar bantuan Hari Raya tahun ini, dengan peruntukan berjumlah RM14.19 juta dan mengikut bancian, bilangan ketua keluarga fakir adalah 7,429 orang manakala ketua keluarga miskin 29,258 orang.

“Setiap ketua keluarga fakir akan menerima bantuan RM400 dan tanggungan mereka pula menerima RM50, manakala ketua keluarga miskin akan menerima RM300 dan tanggungan mereka juga menerima RM50,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.