GLC perlu bayar dividen RM1 juta setahun kepada kerajaan Sabah

GLC perlu bayar dividen RM1 juta setahun kepada kerajaan Sabah

Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, langkah itu akan membantu meningkatkan tabung negeri dan membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat.

Hajiji Noor berkata, kerajaan Sabah perlu menarik lebih banyak pelabur dan tidak bergantung kepada GLC semata-mata untuk mengisi tabung negeri. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah perlu membayar dividen sekurang-kurangnya RM1 juta setiap tahun kepada kerajaan negeri mulai tahun ini, kata Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Beliau berkata, langkah sedemikian akan membantu meningkatkan tabung negeri dan membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat.

“Kerajaan negeri tidak akan bergantung semata-mata kepada GLC untuk mengisi tabung negeri. Kami memerlukan kedatangan pelabur.

“Apabila pelabur masuk dan membawa wang untuk menjalankan projek mereka, ini akan mencipta impak (positif) serta-merta kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata, antara perkara yang digariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) atau rangka tindakan pembangunan Sabah adalah mewujudkan dasar mesra pelabur.

“Dalam tempoh satu setengah tahun sejak pelancaran SMJ, kita menarik lebih 10 syarikat melabur di Sabah.”

Melalui SMJ, katanya, Sabah mencapai kemajuan besar dalam membina ekonominya dan ini terbukti apabila negeri itu mencatatkan perolehan RM5.44 bilion tahun lepas, terbesar dalam sejarahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.