Masjid, surau di Kedah dibenar solat rapat saf mulai 1 April

Masjid, surau di Kedah dibenar solat rapat saf mulai 1 April

Aktiviti bukan solat sepanjang Ramadan, termasuk majlis berbuka puasa perlu dijalankan dengan penjarakan fizikal 1m dan makanan digalakkan disediakan secara berbungkus.

Khutbah, ceramah, kuliah dan kelas pengajian di masjid atau surau perlu dilaksanakan dengan pematuhan SOP dalam tempoh bersesuaian dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1m.
ALOR SETAR:
Semua masjid dan surau di Kedah dibenarkan menganjurkan solat berjemaah, sama ada solat fardu, solat Jumaat dan solat sunat tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan mulai 1 April ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, kebenaran itu selaras fasa peralihan ke endemik yang akan berkuat kuasa di seluruh negara mulai bulan depan dan selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Bagaimanapun, bagi aktiviti selain solat berjemaah, penjarakan fizikal masih diwajibkan. Khutbah, ceramah, kuliah dan kelas pengajian di masjid atau surau dilaksanakan dengan pematuhan SOP dalam tempoh bersesuaian dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1m.

“Jamuan makan, gotong-royong dan kenduri dibenarkan dengan penjarakan fizikal sekurang-kurang 1,. Wirid dan doa selepas solat dilaksanakan secara ringkas dan bersesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan aktiviti keagamaan di masjid dan surau pada Ramadan juga perlu mengikuti SOP sama.

Katanya, solat berjemaah bagi solat sunat tarawih, tahajud, witir dan lain-lain boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan mengikut kapasiti masjid atau surau.

Yusri berkata, aktiviti bukan solat pada bulan Ramadan, termasuk majlis berbuka puasa, sahur dan moreh pula perlu dijalankan dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1m dan makanan digalakkan disediakan secara berbungkus.

Katanya, jemaah juga masih dikehendaki mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka sepanjang berada di premis, mendaftar kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera, telah menerima suntikan vaksin lengkap serta digalakkan membawa sejadah sendiri.

“Jemaah juga dilarang berkumpul di dalam kawasan masjid dan surau selepas solat seperti bersembang, melepak dan seumpamanya, tidur di dalam masjid atau surau serta bersalaman atau berpelukan sesama jemaah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.