‘Langkah Sheraton’ punca tangguh pembesaran lapangan terbang, kata DAP

‘Langkah Sheraton’ punca tangguh pembesaran lapangan terbang, kata DAP

Setiausaha Organisasi DAP berkata, Putrajaya patut memulihkan projek itu, jika benar Umno dan BN tidak berhasrat menangguhkannya.

Lakaran lapangan terbang Pulau Pinang oleh artis, selepas cadangan pembesaran bangunan terminalnya untuk menampung 12 juta penumpang setahun. (Gambar Malaysia Airports)
GEORGE TOWN:
Cadangan pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang dihentikan apabila “Langkah Sheraton” menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, kata Setiausaha Organisasi DAP, Steven Sim dalam respons kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Katanya, projek pembesaran itu dimulakan kerajaan PH dan diluluskan pihak berkuasa tempatan pada Disember 2019.

Tetapi, kerajaan Perikatan Nasional-Barisan Nasional yang ditubuhkan selepas “Langkah Sheraton” menggantung projek itu.

“(Bahkan) selepas Umno dan BN mengambil alih kerajaan persekutuan pada Ogos 2021, projek pembesaran lapangan terbang itu masih digantung dan belum dihidupkan semula.”

Sim berkata, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong daripada kerajaan BN-PN menggantung projek itu.

Kenyataan Sim menyusul dakwaan Najib semalam bahawa beliau dan BN tiada kaitan dengan beberapa projek tertangguh di Pulau Pinang.

Beliau meminta DAP “tanya Abah kau” – merujuk Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin yang menjadi perdana menteri selepas “Langkah Sheraton”.

Najib turut meminta DAP merujuk Pengerusinya, Lim Guan Eng yang merupakan menteri kewangan ketika itu, berhubung projek ditangguhkan.

DAP menyalahkan Najib atas penangguhan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR), kereta kabel Bukit Bendera bernilai RM100 juta dan pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang.

Menjawab dakwaan Najib bahawa PH menangguhkan projek itu kerana mahu melibatkan kroni, Sim berkata, syarikat berkelayakan telah dipilih untuk projek itu berdasarkan tender terbuka.

Katanya, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Wee perlu memulihkan projek itu dengan segera, jika benar Umno dan BN tidak berhasrat menangguhkan pembesaran lapangan terbang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.