DAP Sabah selar ADUN dakwa dipaksa jadi ‘yes man’

DAP Sabah selar ADUN dakwa dipaksa jadi ‘yes man’

Seorang pemimpin DAP Sabah berkata, Ketua DAP negeri sentiasa memberi ruang kepada semua AJK untuk bercakap secara terbuka dan mengemukakan pandangan berbeza.

Presiden Warisan, Shafie Apdal (dua dari kiri) menerima borang permohonan daripada Justin Wong (kiri) dan Calvin Chong (kanan) semalam.
KOTA KINABALU:
DAP Sabah menyelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong yang mendakwa terpaksa menjadi “yes man” sebelum beliau menyertai Warisan semalam.

Penolong Setiausaha awamnya, George Wong, berkata Ketua DAP Sabah, Frankie Poon sentiasa memberi ruang kepada semua ahli jawatankuasa, termasuk Justin, untuk bercakap secara terbuka dan mengemukakan pandangan berbeza.

Katanya, jika Justin menghadiri mesyuarat jawatankuasa, beliau akan mempunyai peluang sama untuk bersuara.

“Adalah normal bagi pemimpin mempunyai pandangan berbeza dan tidak ada seorang pun mahu beliau berdiam diri atau mengarahkannya menjadi ‘yes man’ dalam parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

George Wong.

“Biar saya cakap secara terus-terang, dakwaan Justin tidak benar sama sekali. Dakwaan keterlaluan ‘yes man’ itu sememangnya salah.

“Tentunya tiada justifikasi atas tindakannya melompat parti dan mengkhianati rakyat yang mengundinya.

“Saya tidak pasti mengapa beliau cukup marah dengan parti yang mempersiapkannya secara politik dan menyediakan platform politik kepadanya sejak awal lagi.”

Justin dan ADUN Elopura, Calvin Chong menyertai Warisan semalam, selepas tiga bulan menjadi wakil rakyat bebas susulan peletakan jawatan mereka daripada DAP pada 20 Jan lalu.

Justin yang membaca teks selepas menyertai Warisan semalam berkata, beliau setia kepada DAP sepanjang hidupnya dan tindakannya keluar parti bukan demi kepentingan peribadi, tetapi kerana parti itu sudah hilang arah tuju dan perbalahan dalaman yang serius.

“Saya percaya ia bukan tindakan terbaik untuk kekal dalam parti yang hanya mahu saya menjadi ‘yes man’.”

George dalam kenyataannya hari ini berkata, Justin dan Chong ketika keluar DAP pada Januari lalu mendakwa mereka tidak berhasrat menyertai parti lain.

“Bagaimanapun, mereka kini menyertai seteru DAP, Warisan secara rasmi. Ini jelas bertentangan dengan apa yang mereka katakan sebelum ini.”

Semalam, DAP Sabah mengeluarkan kenyataan menyelar dua ADUN itu dengan harapan Justin dan Chong “akan menjadi kumpulan terakhir katak politik sebelum pelaksanaan undang-undang antilompat parti”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.