Fahmi Fadzil pertimbang tanding jawatan Naib Presiden PKR

Fahmi Fadzil pertimbang tanding jawatan Naib Presiden PKR

Pada pemilihan parti 2018, Fahmi Fadzil pernah bertanding jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat, tetapi tewas.

Fahmi Fadzil berkata, ada ahli PKR yang mencadangkan beliau bertanding untuk jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti Mei ini.
PETALING JAYA:
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil sedang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti Mei ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, ada ahli PKR yang mencadangkan beliau bertanding jawatan itu.

“Ia bukan satu keputusan yang mudah untuk bertanding dalam pemilihan parti. (Namun saya) sedang mempertimbangkan sama ada bertanding untuk jawatan itu,” katanya kepada FMT.

Pada pemilihan parti 2018, Fahmi bertanding untuk jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, namun tewas dan beliau kemudian dilantik sebagai Pengarah Komunikasi PKR.

Fahmi berkata, pada 2018, beliau baru memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai dalam pilihan raya umum ke-14.

“Tiga tahun kemudian, senario sedikit berbeza, saya belum putuskan lagi untuk bertanding ataupun tidak.

“Apapun saya memang ‘party man’…kalau parti merasakan ada keperluan untuk saya terus berkhidmat, maka saya sedia menyumbang,” katanya.

Sementara itu, dua bekas aktivis mahasiswa, Adam Adli dan Fahmi Zainol dijangka berentap bagi jawatan Ketua Pemuda dalam pemilihan kali ini.

Sumber dalaman PKR memaklumkan kedua-duanya berhasrat bertanding jawatan itu bagi menggantikan Akmal Nasir.

Pada 2011, Adam yang merupakan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terpalit kontroversi menurunkan bendera memaparkan gambar Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

September lalu, PKR menerima penyertaan 20 aktivis muda, termasuk Adam.

Fahmi Zainol pula merupakan pemimpin pelajar Universiti Malaya (UM) yang pernah dikenakan tindakan tatatertib selepas menjemput Presiden PKR, Anwar Ibrahim berucap di universiti itu pada 2014.

Difahamkan, Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang itu akan mengumumkan senarai penuh barisan sayap itu dalam sidang media esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.