Mayat ditemui dalam gaung, suspek dipercayai sorok kematian

Mayat ditemui dalam gaung, suspek dipercayai sorok kematian

Ini berdasarkan hasil siasatan pihak polis setakat ini susulan penahanan tiga suspek, yang juga ahli keluarga mangsa, menurut polis.

Pada 20 Mac, mayat wanita tanpa identiti ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam gaung di KM14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah. (Gambar PDRM)
SEREMBAN:
Mayat wanita yang ditemui di dalam gaung di KM14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini, Ahad lepas dipercayai ditinggalkan di lokasi terbabit bagi menyorokkan kematiannya.

Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop berkata, ia berdasarkan hasil siasatan pihaknya setakat ini susulan penahanan tiga suspek.

“Walaupun menyorok kematian, kesalahan itu tetap disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Punca sebenar kematian masih dalam siasatan tetapi difahamkan mangsa menghidap Covid-19 semasa kematian.

“Kita akan tunggu perkembangan siasatan seterusnya bagi memastikan punca kematian sebenar dan apakah tuduhan sewajarnya ke atas tiga individu yang ditahan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Rabu lepas, dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun, serta seorang wanita berusia 18 tahun direman tujuh hari hingga 29 Mac bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut Mohamad, tiga individu berkenaan juga adalah ahli keluarga mangsa.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya empat individu, termasuk ahli keluarga lain dan jiran terdekat di kawasan berkenaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

“Sebab kita dapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Jadi kita akan terus siasat dan mengenal pasti sebab kematian dan punca kejadian itu boleh berlaku,” katanya.

Pada 20 Mac, mayat wanita tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan laporan bedah siasat dihantar ke Jabatan Kimia bagi pengesahan punca kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.