
Ini susulan kenyataan Hamzah bahawa beliau sedang meneliti bagaimana usul itu boleh dibentangkan semula selepas ditolak di Dewan Rakyat, Rabu lalu.
Hamzah berkata, beliau akan membincangkan perkara ini pada mesyuarat Kabinet hari ini.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, tidak ada sokongan untuk membentangkan semula usul itu walaupun daripada Umno sendiri, “sebab itu mereka tidak keluar mengundi”.
“Saya fikir menteri perlu memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai sokongan dalam kerajaan sendiri dan harus menggugurkan sahaja akta itu,” katanya kepada FMT.
“Biasanya, sebaik sahaja anda kalah dalam perdebatan, anda tidak akan membawanya semula. Saya rasa kita perlu hormat Parlimen yang membuat keputusan.”
Santiago berkata, orang ramai tahu bahawa akta itu disalahgunakan walaupun kerajaan menegaskan ia bertujuan untuk menangani keganasan.
“Berapa ramai pengganas yang mereka tangkap setakat ini? Apa yang kita dengar ialah penderaan,” katanya.
Rabu lalu, Hamzah membentangkan usul untuk melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA tempoh tahanan maksimum 28 hari untuk tempoh lima tahun lagi.
Bagaimanapun, usul itu ditolak dengan 85 Ahli Parlimen mengundi menyokong dan 86 menentang dan baki 49 Ahli Parlimen tidak hadir.
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, adalah sukar bagi Hamzah untuk mendapatkan kelulusan Kabinet untuk membentangkan semula usul itu.
“Ini akan menjadi sangat sukar untuk dicapai selepas kalah dalam pengundian.
“Memang begitu, saya fikir ini hanyalah cakap kosong untuk mengalih perhatian daripada fakta yang dia harus mengemukakan peletakan jawatan susulan kekalahan itu,” katanya.
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berharap kerajaan memperkenalkan usul untuk memansuhkan SOSMA, bukannya mengembalikan semula akta itu.
“Sudah tentu, jika dibentangkan semula bermakna menghapuskan beberapa peruntukan rang undang-undang dahulu dan kemudian mengambil langkah untuk memansuhkannya, ia amat dialu-alukan,” katanya.
“Bagaimanapun, pendapat saya ialah SOSMA harus dimansuhkan kerana ia melampau, merampas kuasa mahkamah dan boleh digunakan sewenang-wenangnya ke atas sesiapa dan semua orang pada bila-bila masa atas apa-apa sebab yang dilihat wajar oleh pegawai penguat kuasa.”
Beliau berkata, terdapat peruntukan mencukupi dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk menangani kebimbangan yang sah seperti gengsterisme, jenayah terancang dan aktiviti triad. Terdapat juga Akta Pencegahan Keganasan 2015 untuk menyiasat aktiviti keganasan.
Pengarah Eksekutif NGO Hak Asasi Manusia, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sevan Doraisamy berkata, Hamzah harus sedar bahawa SOSMA bermasalah, terutama berkenaan peruntukan penahanan selama 28 hari.
“Terdapat begitu banyak kejadian penderaan yang kami rekodkan dalam tempoh 28 hari ini,” katanya.
Beliau berkata, Hamzah harus menumpukan perhatian dan memberi penekanan “kepada isu lain” yang sedang dibincangkan.