
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Aishah Ahmad berkata, bagaimanapun pihak industri meminta kerajaan mengembalikan perkiraan lama bagi membendung kenaikan harga kereta CKD.
“Duti eksais tersebut ditangguhkan pada 2020 sehingga penghujung 2022 dan akan dijalankan semula bermula tahun hadapan.
“Kita (MAA) telah menghantar kertas cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk kembali kepada polisi lama dengan hanya kos item bukan pembuatan sahaja dimasukkan dalam pengiraan OMV yang akan mengurangkan harga kenderaan itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan MAA di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, OMV merupakan nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD yang siap dari kilang sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya.
Perkiraan baharu duti eksais Malaysia disediakan oleh MOF semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan diwartakan pada 31 Dis 2019.
Aishah berkata, sehingga kini MAA masih belum menerima maklum balas daripada MOF.
Syarikat automotif tidak akan meningkatkan margin, namun peningkatan harga kereta adalah disebabkan kenaikan cukai, katanya.
“Pembeli akan terkesan dan ini sekali gus menyebabkan penjualan kereta akan berkurangan,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, MAA juga sedang menyiapkan draf rayuan kepada MOF bagi memohon lanjutan tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) memandangkan berlakunya kekurangan mikrocip.
Dalam pembentangan Bajet 2022, kerajaan mengumumkan lanjutan tempoh pengecualian SST ke atas kenderaan sehingga 30 Jun 2022.
Pengecualian SST bagi kenderaan diumumkan kali pertama pada Jun 2020 untuk tempoh sehingga Disember 2020 berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kemudian dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun 2022.