96% proses pemulihan Covid-19 di rumah, kata timbalan menteri

96% proses pemulihan Covid-19 di rumah, kata timbalan menteri

Dr Noor Azmi Ghazali berkata hanya kes teruk sahaja yang memerlukan rawatan di hospital.

Berdasarkan perkembangan, Malaysia sememangnya sudah bersedia untuk beralih ke fasa endemik Covid-19, menurut Dr Noor Azmi Ghazali.
SHAH ALAM:
Proses pemulihan bagi kes positif Covid-19 di Malaysia kebanyakannya dilakukan di rumah dengan 96% kes aktif di negara ini dipantau dari rumah individu berkenaan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, hanya kes teruk sahaja yang memerlukan rawatan di hospital.

“Ini membawa Malaysia kepada pengumuman pembukaan sempadan pada 1 April ini dan banyak lagi sekatan akan dilonggarkan. Bagaimanapun, Malaysia akan terus mematuhi nasihat dan mandat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar mengekalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan Hishamshah Mohd Ibrahim semasa lawatan kerja Menteri Kesihatan Singapura Ong Ye Kung ke Institut Kesihatan Negara (NIH) di sini hari ini.

Noor Azmi berkata, setakat ini, sebanyak 79% atau 25,786,987 populasi Malaysia telah lengkap divaksin dan daripada jumlah itu 97.5% atau 22,943,182 populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) serta 91.4% atau 2,843,805 remaja (12 hingga 17 tahun) telah lengkap vaksinasi.

“Terdapat 15,483,571 atau 65.8% populasi dewasa yang telah melengkapkan vaksin siri primer telah mengambil suntikan dos penggalak dan 1,263,287 atau 35.6% kanak-kanak berusia lima hingga kurang 12 tahun menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19,” katanya.

Noor Azmi berkata, berdasarkan perkembangan itu, Malaysia sememangnya sudah bersedia untuk beralih ke fasa endemik Covid-19 kerana ia merupakan “exit strategy” bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan hampir normal selepas lebih dua tahun berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ong dalam ucapannya berkata, Malaysia dan Singapura telah bekerjasama sepanjang krisis pandemik.

“Apabila trafik sempadan darat terganggu akibat virus Covid-19, pihak berkuasa Singapura bertindak dengan menempatkan puluhan ribu rakyat Johor yang bekerja di Singapura kerana mereka tidak dapat berulang-alik setiap hari merentasi tambak. Kami memastikan bekalan penting dan komponen kritikal terus disalurkan.

“Saya dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sentiasa berhubung, saling memaklumkan mengenai situasi di negara kita dan maklum balas masing-masing. Saya banyak belajar daripada pertukaran maklumat dengan beliau,” katanya.

Ong berkata, pelancaran suntikan vaksinasi di Malaysia telah dilakukan dengan sangat baik dan mempersiapkan negara untuk beralih ke fasa endemik.

Beliau juga berharap kedua-dua negara akan bangkit dengan menjadi lebih kuat daripada pandemik ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.