Tak setuju usul kenapa tak minta runding, Annuar dakwa PH ‘tikam belakang’

Tak setuju usul kenapa tak minta runding, Annuar dakwa PH ‘tikam belakang’

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata tindakan Pakatan Harapan enggan menyokong usul kerajaan adalah satu bentuk pengkhianatan.

Tindakan PH tidak menyokong usul kerajaan adalah satu bentuk pengkhianatan yang membuktikan bahawa pembangkang tidak jujur dan gagal menjunjung semangat MoU, menurut Annuar Musa.
PETALING JAYA:
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa mempersoal tindakan Pakatan Harapan (PH) tidak meminta supaya rundingan diadakan berkenaan usul SOSMA yang tidak dipersetujui mereka.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, bahawa PH tidak melanggar memorandum persefahaman (MoU) kerana usul itu tidak dirunding dan tidak termasuk dalam MoU antara kerajaan dengan pembangkang .

“Anthony Loke tentu tahu, usul berkenaan dibawa oleh menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang merupakan pengerusi bersama dengan beliau dalam Jawatankuasa Perundingan MoU.

Tonton video di sini.

“Apakah alasan untuk beliau dan PH tidak memohon rundingan di adakan sekiranya tidak bersetuju (dengan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA),” katanya.

Menurutnya, tindakan PH enggan menyokong usul kerajaan adalah satu bentuk pengkhianatan yang membuktikan bahawa pembangkang tidak jujur dan gagal menjunjung semangat MoU.

“Adalah jelas PH sengaja bertindak secara ‘tikam belakang’. Lebih menjengkelkan lagi bila melihat bagaimana PH ‘celebrate’ kejayaan menolak usul kerajaan dengan bersorak di dalam Dewan. Jelas membuktikan PH tidak jujur dan tidak boleh dipercayai.

“Kita tentu ingat, baru dua hari lepas, Pengerusi DAP Lim Guan Eng mengugut kerajaan berhubung pindaan perlembagaan dan cadangan akta antilompat parti. Beliau menyatakan mahu menamatkan MoU jika ‘bill’ tidak dibentangkan dalam mesyuarat penggal pertama ini.

“Tidakkah ini juga petanda betapa tidak jujurnya DAP dan PH dalam melaksanakan MoU ini. Justeru PH, khususnya DAP perlu bertanggungjawab jika MoU ini rosak,” katanya di Facebook.

Media sebelum ini melaporkan, usul untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 untuk tempoh lima tahun lagi gagal melepasi undi belah bahagi.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata, Ahli Parlimen yang bersetuju dengan usul tersebut ialah seramai 85 orang, manakala tidak bersetuju 86 orang dan 49 lagi Ahli Parlimen tidak hadir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.