Saya tiada di Dewan sebab tak tahu ada undian, kata Ahmad Maslan

Saya tiada di Dewan sebab tak tahu ada undian, kata Ahmad Maslan

Ahli Parlimen Pontian itu pada mulanya yakin usul itu akan lulus disebabkan MoU kerajaan dan PH.

Ahmad Maslan meninggalkan Dewan Rakyat selepas difahamkan tiada undian akan diadakan semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan berkata, beliau tidak berada dalam Dewan Rakyat untuk mengundi satu usul undang-undang kontroversi yang menyebabkan ia gagal diluluskan kerana difahamkan tiada undian akan diadakan.

Katanya, beliau pada mulanya yakin usul untuk melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi mulai 31 Julai akan lulus disebabkan wujudnya memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH).

Usul yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan dalam undian blok, selepas 85 Ahli Parlimen mengundi menyokong dan 86 lagi menentang. Baki 49 Ahli Parlimen tidak hadir.

“Semalam, sebelum Hamzah menggulung, saya dipanggil untuk berbahas oleh Cameron Highlands (Ramli Mohd Nor), tetapi saya tak nak berucap, maka saya tak berucaplah.

“Selepas itu baharu Hamzah menggulung, kemudian saya pun keluar dan bila saya keluar saya tanya dua, tiga orang pegawai ada mengundi ke? Dia orang pun jawab mana ada mengundi, dah tandatangan MOU, tak ada mengundi.

“Oleh kerana saya pun ada mesyuarat perkahwinan anak saya Ahad ini dan kerana tak ada mengundi, maka saya pun tak adalah nak menunggu Hamzah, ” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Selain Ahmad, beberapa pemimpin yang sering dilabelkan sebagai “kluster mahkamah”, termasuk Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dah bekas perdana menteri, Najib Razak juga difahamkan tidak hadir mengundi.

Ahmad bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung ketidakhadiran pemimpin itu, selain menjelaskan beliau bukan lagi “kluster mahkamah”.

“Tiada kaitan kluster mahkamah dengan bukan kluster ini, saya bukan lagi kluster mahkamah,” katanya dengan menambah bahawa beliau sudah dibebaskan oleh mahkamah.

Pada 29 Sept 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Ahmad daripada dua tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, selepas membayar kompaun RM1.1 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.