Saya bukan cuba selamatkan saksi, tapi henti soalan tak relevan, kata Sri Ram

Saya bukan cuba selamatkan saksi, tapi henti soalan tak relevan, kata Sri Ram

Ketua pasukan pendakwaan itu menafikan beliau cuba menyelamatkan bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Ismee Ismail.

Semasa prosiding, Ketua pasukan pendakwaan, Gopal Sri Ram membantah soalan diajukan peguam Muhammad Shafee Abdullah mengenai dakwaan perjanjian palsu Murabahah.
KUALA LUMPUR:
Gopal Sri Ram memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau tidak cuba menyelamatkan bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Ismee Ismail, tetapi menghentikan soalan tidak relevan yang diajukan kepada saksi pendakwaan ke-13 itu.

Ketua pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB Najib Razak itu memberitahu Hakim Collin Sequerah, selepas ketua pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah berkeras mengatakan pendakwaan cuba untuk “menyelamatkan” Ismee.

Pertikaman lidah itu bermula apabila Shafee menyoal Ismee, 58, mengenai dakwaan perjanjian palsu berkaitan penukaran wang dana kekayaan negara kepada nota Murabahah.

Menurut satu usaha sama antara 1MDB-PetroSaudi International Limited, kedua-dua syarikat bersetuju menukar 40% daripada kepentingan 1MDB dalam usaha sama itu, iaitu USD1 bilion kepada pinjaman Islam kepada syarikat usaha sama itu.

Persetujuan itu menyaksikan 1MDB bersetuju menjual 40% sahamnya dalam syarikat usaha sama berkenaan, dengan memberikan pinjaman Islam menerusi nota Murabahah kepada syarikat kerjasama itu pada nilai USD1.2 bilion.

Dengan penukaran kepada nota Murabahah, syarikat usaha sama itu akan berhutang USD1.2 bilion kepada 1MDB di atas kertas, dan memberikan 1MDB keuntungan atas kertas USD200 juta selepas mengambil kira permulaan USD1 bilion.

Semasa prosiding, Sri Ram membantah soalan diajukan peguam senior itu mengenai dakwaan perjanjian palsu Murabahah.

Ketika itu, Sequerah mencelah dengan berkata, tidak adil untuk cuba mendapatkan saksi menjawab sedangkan isu itu berasaskan dokumentasi.

Bagaimanapun, Shafee berhujah Ismee mampu menjawab soalan beliau dan tidak perlu “diselamatkan” oleh sesiapa.

“Tiada sesiapa perlu selamatkan saksi ini kerana beliau melakukannya dengan baik,” kata Shafee.

Sri Ram kemudian menjawab: “Saya tidak menyelamatkan saksi ini, saya menghentikan soalan tidak relevan.”

Shafee kemudian bertanya: “Adakah soalan ini tidak relevan?”

Hakim kemudian berkata, soalan ditanya merupakan perkara untuk peringkat hujahan dan Shafee bertanya kepada Ismee untuk membuat kesimpulan, sedangkan saksi mungkin tahu atau tidak tahu perkara itu.

Bagaimanapun, peguam itu bertegas seseorang saksi itu boleh menjawab berasaskan fakta yang diberi. Hakim kemudian berkata, biarkan dia menjawab.

Semasa prosiding hari ini, saksi itu juga memberi keterangan bahawa usaha sama 1MDB-PetroSaudi International Limited, selain daripada 1MDB memperoleh penjana kuasa bebas Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dan Mastika Lagenda Sdn Bhd, adalah sejajar kepentingan kerajaan Malaysia.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung pada 4 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.