Remaja dikhuatiri lemas ketika mandi sungai di Baling

Remaja dikhuatiri lemas ketika mandi sungai di Baling

Mangsa Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa, 14, dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus sungai tersebut kira-kira 1 tengah hari.

Bomba berkata, ketika kejadian cuaca di kawasan tersebut adalah baik namun ketika pasukan bomba tiba hujan mulai turun dengan lebat menyebabkan paras air sungai meningkat. (Gambar Freepik)
ALOR SETAR:
Seorang remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu, Baling, kira-kira 90 kilometer dari sini, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Penguasa Kanan I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa, 14, dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus sungai kira-kira 1 tengah hari.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.11 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling bergegas ke tempat kejadian. Tindakan awal bomba ialah melakukan pencarian di permukaan air di sekitar lokasi berkenaan.

“Berdasarkan maklumat saksi di lokasi kejadian, rakan-rakan mangsa cuba mencarinya terlebih dahulu, apabila usaha mencari gagal, rakan mangsa memaklumkan kejadian kepada keluarga mangsa dan selepas itu barulah keluarga mangsa menghubungi bomba,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ketika kejadian cuaca di kawasan tersebut adalah baik namun ketika pasukan bomba tiba hujan mulai turun dengan lebat menyebabkan paras air sungai meningkat.

Mohamadul Ehsan berkata, keadaan itu menyebabkan operasi pencarian menjadi sukar dan ketika ini mangsa masih belum ditemui.

Dalam pada itu, Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) dalam catatan di akaun Facebooknya mengesahkan remaja itu adalah pelatih akademi itu untuk pemain Bawah 14 tahun.

Menurut AMD, ketika ini Muhammad Saiful Ezzudin dan semua pelatih Bawah 14 dan 15 tahun akademi itu sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman masing-masing dari 19 hingga 27 Mac ini.

“Usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pihak polis dan bomba. Justeru kami memohon doa daripada semua agar dipermudahkan operasi pencarian yang sedang dijalankan serta semoga pelatih tersebut ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Mohamadul Ehsan berkata, dalam kejadian berasingan seorang lelaki dipercayai lemas selepas terjun ke dalam laut dari bot di pelantar ikan Kampung Ulu dekat Kuala Kedah, di sini petang semalam.

Beliau berkata, saksi mendakwa mangsa yang berusia 43 tahun itu terjun ke dalam laut dari bot yang dilabuhkan berhampiran pelantar sebelum dilihat terkapai-kapai dibawa arus deras.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.21 petang dan anggota dari BBP Jalan Raja telah ke lokasi kejadian. Pencarian di permukaan air dijalankan di sekitar kawasan jeti berkenaan dan setakat ini belum menemui mangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.