
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar memberitahu Dewan Rakyat bahawa hanya syarikat besar perlu membayar gaji minimum baharu yang disemak daripada RM1,200 sebelum ini.
Beliau berkata, kementerian memutuskan untuk menangguhkan tarikh akhir pelaksanaan gaji minimum bagi PMKS kerana mengambil kira kesan wabak Covid-19 ke atas perniagaan kecil.
Menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat hari ini, Noh berkata, kerajaan akan terus membantu PKS untuk pulih.
“Melalui SME Corp Malaysia, antara program dilaksanakan adalah Program Pembiayaan Pengukuhan PKS. Program ini menyediakan pembiayaan pinjaman mudah kepada PMKS, terutamanya dalam sektor yang terjejas oleh Covid-19 dengan kadar faedah 3% dan tanpa yuran pemprosesan.
“Sejak dilaksanakan pada 2021 sehingga 31 Jan 2022, sejumlah 111 permohonan diluluskan dengan nilai keseluruhan pinjaman sebanyak RM20.4 juta,” katanya.
Selain itu katanya, Program Dana Kecemasan PKS dengan peruntukan sebanyak RM10 juta turut dilaksanakan.
“Dana ini telah diwujudkan pada 2012 sebagai satu langkah proaktif oleh kerajaan agar usahawan PMKS yang terjejas akibat bencana alam seperti banjir, ribut, kemarau, hakisan pantai dan tanah runtuh dapat beroperasi semula.
“Sehingga kini, sejumlah 995 PMKS dengan dana berjumlah RM16.6 juta telah diberikan (878 PKS telah diluluskan bantuan geran RM7.3 juta dan 117 PKS diluluskan pinjaman RM9.4 juta),” katanya.
Noh berkata, bawah inisiatif pembiayaan digital, PMKS akan mendapat manfaat daripada pembiayaan minimum antara RM50,000 dan RM500,000 bagi menaik taraf platform digital mereka.
“Bagi 2021 sehingga Januari 2022, sejumlah 20 PMKS telah diluluskan pinjaman berjumlah RM4.7 juta,” katanya.
Beliau berkata, pinjaman dan bantuan kewangan lain turut tersedia daripada Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Tekun Nasional and Bank Rakyat.
“Program (PERNAS) bertujuan membantu usahawan francais yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 bagi membantu menampung kos operasi bulanan seperti gaji pekerja, sewa premis perniagaan dan utiliti usahawan selama enam bulan,” katanya.
Nurul Izzah meminta kementerian menyenaraikan insentif bagi PKS untuk mengurangkan beban kewangan mereka berikutan kenaikan gaji minimum.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dalam Perhimpunan Agung Umno pada 19 Mac bahawa gaji minimum RM1,500 akan dilaksanakan pada 1 Mei.