
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tarikh akhir ditetapkan itu untuk lesen bagi premis yang sah berpandukan lesen judi dikeluarkan Kementerian Kewangan.
“Mana-mana premis perjudian yang telah tamat tempoh tak akan ‘renew’ (diperbaharui) lagi tidak kira tarikhnya bulan berapa pun,” katanya ketika dihubungi FMT.
Semalam, Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Dr Mohd Hayati Othman memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa kerajaan negeri bersetuju supaya semua lesen premis perjudian, iaitu ejen agensi nombor ramalan (NFO) dan kelab persatuan (judi) di Kedah ditamatkan pada 31 Dis 2022.
Hayati berkata, keputusan membenarkan premis meneruskan operasi hingga akhir tahun ini dibuat selepas mengambil kira implikasi undang-undang berhubung larangan itu.
“Umum diketahui bahawa MOF (Kementerian Kewangan) adalah satu-satunya agensi yang meluluskan lesen perjudian, manakala kerajaan negeri boleh mengeluarkan dasar kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) bagi pengawalan lesen premis sahaja.
“Bagaimanapun dalam perbincangan tersebut, pihak MOF telah memaklumkan bahawa pihaknya memperbaharui semua lesen yang dipohon oleh operator sebelum pengumuman oleh menteri besar Kedah pada 11 Nov tahun lalu.
“Kerajaan negeri bersetuju supaya semua lesen premis perjudian, iaitu NFO dan kelab persatuan di Kedah diberhentikan hingga 31 Dis 2022 sebagaimana kelulusan oleh MOF,” katanya menjawab pertanyaan Simon Ooi (PH-Bakar Arang).
Hayati berkata, sehingga hari ini, daripada 45 lesen premis perjudian yang dikeluarkan kepada PBT, hanya satu lesen premis perjudian yang tidak beroperasi dan sudah ditutup.
“Kerajaan negeri juga meminta pihak PBT, pentadbiran daerah, PDRM dan lain-lain agensi berkaitan supaya membuat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan Kedah tiada aktiviti perjudian menjelang Januari 2023,” katanya.