
“Masalah sebenar gabungan itu adalah perbalahan dalaman, peratusan keluar mengundi yang rendah dan mesej yang tidak berkesan,” kata Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia.
Majlis Presiden PH baru-baru ini berkata, PRN itu menunjukkan bahawa pertembungan banyak penjuru membabitkan parti pembangkang hanya membawa kepada perpecahan undi dan menyukarkannya menentang Barisan Nasional (BN).
Azmil percaya keputusan PRN Johor tidak akan berbeza sekalipun parti-parti pembangkang tidak bertanding di kerusi yang sama.

“Pertembungan banyak penjuru lebih merugikan Perikatan Nasional (PN) dan BN berbanding PH kerana parti-parti Melayu-Islam bersaing untuk mendapatkan undi yang sama,” katanya.
BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN 12 Mac. PH menyaksikan kerusinya merosot daripada 27 kepada 12. PN memenangi tiga kerusi dan MUDA satu.
Dalam kenyataannya pada 16 Mac, Majlis Presiden PH juga berkata, parti pembangkang “tidak sepatutnya bertanding di kawasan PH” pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana ia akan menjejaskan undi yang mungkin akan diperolehi gabungan itu.
Bagaimanapun, semakan dengan laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati jumlah undi yang diperolehi parti pembangkang di 10 kawasan yang dimenangi PH pada PRU14 tidak cukup untuk menewaskan BN pada PRN Johor.
Kawasan-kawasan terbabit adalah Bekok, Paloh, Pekan Nanas, Kemelah, Serom, Mahkota, Bukit Naning, Semerah, Tiram dan Pemanis.
Di kerusi DUN Larkin yang ditandingi MUDA, PKR dan Pejuang, ketiga-tiga parti itu mendapat 12,206 undi berbanding BN yang memperolehi 16,053 undi.
Di Permas, di mana PH, Pejuang dan Warisan bertanding, jumlah undi mereka adalah 16,969 berbanding BN dengan 23,492.
Azmil berkata, jika PH menyasarkan lebih banyak undi pada PRU15, ia harus menunjukkan barisan yang bersatu dengan mesej yang jelas dan konkrit mengenai isu-isu relevan.

“Ia harus memberi tumpuan kepada isu-isu yang relevan kepada rakyat pada masa ini seperti pekerjaan, pendidikan dan kos sara hidup yang tinggi, berbanding isu kleptokrasi dan mendapatkan semula mandat,” katanya.
Seorang lagi penganalisis, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, PH perlu mengadakan rundingan dengan parti pembangkang bagi mengelak pertembungan banyak penjuru pada PRU15.
“Dalam senario terbaik, mereka akan mengetengahkan barisan yang bersatu untuk menentang BN,” katanya.
“Namun perbalahan antara parti, terutamanya mengenai siapakah yang akan mengetuai gabungan itu, berkemungkinan menghalang perkara itu daripada berlaku dalam masa terdekat.”