
Pengangguran di Sabah meningkat kepada 5.8% pada 2019 kepada 8% pada 2020 dan 9% bagi suku keempat tahun lalu, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Yakub Khan, sambil menyatakan sejumlah 184,200 penganggur, pada 2021.
Menyifatkan trend semasa sebagai membimbangkan, Yakub berkata kerajaan negeri dan kerajaan pusat bekerja keras untuk menurunkan kadar pengangguran berkenaan.
Sebagai contoh, beliau berkata, sejumlah 110,038 pencari kerja aktif dari Sabah dan Labuan didaftarkan dalam portal MyFutureJobs.
“Portal itu menawarkan 43,229 kekosongan jawatan sehingga 22 Mac tahun ini. Pada masa sama, penempatan kerja membabitkan 8,684 jawatan sudah diisi pada 2021 hingga Februari tahun ini,” katanya.
Katanya dalam persidangan DUN Sabah, kerajaan negeri mempertimbangkan kemungkinan memberikan latihan kepada golongan belia menjadi “YouTubers” sebagai langkah memperoleh pendapatan.
“Ya, menjadi pempengaruh dalam media sosial adalah kaedah baharu untuk menjana pendapatan, jadi kami mengambil maklum perkara itu,” katanya menjawab cadangan dikemukakan ADUN Kunak Norazlinah Arif, dalam ucapan penggulungan membabitkan kementeriannya.
“Jika ada keperluan, kami akan mengadakan sesi latihan untuk kawal selia perkara berkenaan.”
Terdahulu, Norazlinah menggesa kerajaan negeri mempertimbang memberikan latihan kepada golongan muda untuk menjadi YouTubers.
“Ada ramai dalam kalangan belia yang meraih jutaan ringgit dengan melakukan perkara itu. Ini juga adalah jalan terbaik untuk mempromosi gaya hidup kita atau pelancongan, selain menjana pendapatan kepada belia.”