Laksana gaji minimum secara menyeluruh, Umno Sabah beritahu kerajaan negeri

Laksana gaji minimum secara menyeluruh, Umno Sabah beritahu kerajaan negeri

Pengarah Komunikasi Umno Sabah Ghazalie Ansing, berkata masih ada pekerja agensi kerajaan negeri menerima gaji di bawah paras gaji minimum RM1,200, sebelum ini.

Ghazalie Ansing yang juga Ketua Umno Bahagian Tawau, berkata ada pekerja di sektor kerajaan negeri tidak menerima paras gaji minimum ditetapkan sebelum ini iaitu RM1,200 walaupun sudah berkhidmat selama 20 tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno Sabah menyarankan kerajaan negeri menguatkuasakan gaji minimum secara menyeluruh di semua peringkat tanpa tanpa mengira sama ada kakitangan tetap atau sambilan.

Pengarah Komunikasi Umno Sabah Ghazalie Ansing, berkata masih ada pekerja agensi kerajaan negeri menerima gaji di bawah paras gaji minimum RM1,200, sebelum ini.

“Meskipun gaji minimum sebelum ini pada kadar RM1,200 sebulan, namun masih ada pekerja harian yang terabai dengan gaji pokok yang tidak berubah walaupun sudah 20 tahun berkhidmat,” katanya dalam kenyataan.

Ghazalie juga memberi contoh gaji sebulan sebanyak RM968 yang diterima pekerja harian di sebuah agensi di bawah Jabatan Pertanian Sabah sejak 2002, tetapi tidak pernah dinaikkan sehingga hari ini.

“Apa dasar kerajaan sehingga gaji pekerja ini tidak pernah dinaikkan selama 20 tahun bekerja? Bukankah kerajaan telah menetapkan gaji minimum sebelum ini RM1,200 dan bakal dinaikkan kepada RM1,500.

“Pekerja ini telah berkhidmat selama 20 tahun dan selayaknya menerima kenaikan gaji bukannya diabaikan, sedangkan gaji itulah yang digunakan untuk menyara keluarga malah dengan peningkatan harga barang semasa bagaimana pekerja ini mampu meneruskan kehidupan,” katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Tawau.

Jelasnya, selepas ditolak potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 11% atau RM128, baki gaji bulanan yang diterima cuma RM840.

Beliau juga mahu kerajaan negeri segera meningkatkan gaji, selain pemberian elaun berkaitan.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan gaji minimum baharu, RM1,500, akan dikuatkuasakan pada 1 Mei membabitkan syarikat dalam sektor swasta yang mempunyai lima pekerja atau lebih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.