Isu pemilikan saham Azam sudah selesai, tak perlu pertikai, kata Wan Junaidi

Isu pemilikan saham Azam sudah selesai, tak perlu pertikai, kata Wan Junaidi

Menteri itu menasihatkan semua pihak menerima keputusan SC yang menjelaskan tiada kes terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dan hasil siasatan SC perlu menjadi panduan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini disiasat atas dakwaan membeli jutaan saham dan waran dalam syarikat senaraian awam dengan nilai melebihi had RM100,000 ke atas pegangan ekuiti oleh penjawat awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki telah selesai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanya bilangan agensi yang terlibat menyiasat Azam dan status siasatan itu.

Wan Junaidi berkata, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memutuskan bahawa tiada kes berhubung isu ini, manakala Azam telah disoal siasat oleh tiga jawatankuasa SPRM.

Tonton video di sini.

Ia termasuk Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Jawatankuasa Aduan.

“Tiada keperluan lagi isu pemilikan saham (Azam) ini dipertikaikan. Beliau juga telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya dan kes kini dalam peringkat mahkamah. Sebarang ulasan kes ini juga akan menimbulkan sub judice.

“Kerajaan tidak melindungi atau mengambil tindakan terhadap orang-orang yang tertentu hanya untuk memuaskan hati sesetengah pihak. Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan dan mahkamah yang akan menentukan sama ada orang itu bersalah atau tidak.

“Sehubungan itu, semua pihak perlu menerima keputusan SC yang menjelaskan tidak ada kes terhadap (Azam) berhubung akaun dagangan miliknya dan keputusan hasil siasatan SC perlu menjadi panduan,” kata Wan Junaidi dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengesahkan bahawa polis menyiasat isu pemilikan saham Azam, walaupun SC memutuskan ia tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada ketua pesuruhjaya SPRM itu melanggar undang-undang.

Azam didakwa membeli jutaan saham dan waran dalam syarikat senaraian awam dengan nilai melebihi had RM100,000 ke atas pegangan ekuiti oleh penjawat awam.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang sebelum ini berkata, beliau berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa adiknya, Nasir, menggunakan akaunnya untuk membeli saham yang kemudiannya dipindahkan ke akaun Nasir.

Pada 18 Jan, SC berkata, ia tidak dapat membuktikan sebarang pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham dalam akaun dagangan Azam.

Seksyen 25(4) SICDA memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa.

Pengawal selia pasaran modal tempatan itu berkata, selepas menyelesaikan inkuirinya dan berdasarkan keterangan yang dikumpul, ia tidak dapat memastikan secara konklusif bahawa berlaku pelanggaran bawah SICDA.

Azam kemudian berkata, SC telah membersihkan namanya daripada salah laku dan beliau berikrar untuk terus memimpin SPRM dalam memerangi rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.