Desak Guan Eng letak jawatan, pemimpin DAP selar Boo

Desak Guan Eng letak jawatan, pemimpin DAP selar Boo

Lim Lip Eng dan Teresa Kok mengkritik Dr Boo Cheng Hau kerana mengutamakan agenda peribadi bagi meraih perhatian.

Beberapa pimpinan DAP menyuarakan sokongan kepada Lim Guan Eng dengan berkata, pengerusi kebangsaan parti itu tidak bersalah berkait tuduhan di mahkamah.
PETALING JAYA:
Kepimpinan DAP mengkritik Dr Boo Cheng Hau yang mendesak Lim Guan Eng supaya meletakkan jawatan sebagai pengerusi kebangsaan parti itu.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, Boo mempunyai agenda peribadi terhadap Guan Eng, selain menyatakan bahawa beliau seorang oportunis yang menggunakan alasan perbicaraan membabitkan pengerusi parti berkenaan yang bersambung hari ini, semata-mata untuk meraih perhatian.

“Sekiranya beliau serius berhubung kenyataannya, mengapa tidak menyatakan sedemikian ketika Guan Eng menjadi setiausaha agung, jawatan itu nombor satu dalam parti. Mengapa beliau mengatakan perkara ini sekarang?

“Saya menyokong penuh Guan Eng sama ada sebagai setiausaha agung atau pengerusi. Saya juga percaya beliau tidak bersalah,” katanya kepada FMT, merujuk kepada pendakwaan rasuah yang dihadapi bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Kenyataan itu menyusul selepas Boo, pemimpin parti itu di Johor, menggesa Guan Eng berundur sebagai pengerusi kebangsaan parti dengan memetik perbicaraan rasuah projek terowong dasar laut yang sedang berjalan membabitkan Ahli Parlimen Bagan berkenaan.

Beliau berkata, ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baharu DAP sepatutnya bebas daripada sebarang beban untuk memacu parti ke hadapan dalam meraih semula keyakinan rakyat dan menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, juga menyangkal desakan Boo, dengan berkata, apa dikatakan terhadap Guan Eng sebagai tidak adil kerana beliau belum didapati bersalah.

“Terpulang kepada Boo untuk mengeluarkan pendapatnya. Bagaimanapun, Guan Eng dipilih sendiri oleh delegasi parti sebagai pengerusi. Tiada seorang pun daripada kami mempersoalkan integritinya.

“Beliau (Boo) gemar menyerang kepimpinan partinya sendiri secara terbuka untuk meraih populariti untuk dirinya. Bagi saya, saya tidak akan mengambil serius apa dikatakannya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji Howard Lee berkata, Boo sepatutnya menghormati keputusan delegasi parti, termasuk barisan kepimpinan yang dipilih.

Merujuk kepada proses melantik Guan Eng yang perlu melalui dua peringkat, beliau berkata, sekiranya Boo percaya pandangannya lebih ulung, mungkin Boo perlu keluar parti memandangkan beliau ditolak di negerinya sendiri dan di peringkat kebangsaan.

“Menyelubungi diri sendiri dengan tanggapan tidak jujur di sebalik kebebasan bersuara, selain didorong rasa kesal dan kecewa selepas ditolak, seseorang pasti tertanya-tanya sekiranya beliau masih berminat dengan parti, barisan hadapan dan pusat berdasarkan tindakannya yang toksik,” kata Lee dalam hantaran di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.