13,225 guru ambilan khas terima penempatan, kata Radzi

13,225 guru ambilan khas terima penempatan, kata Radzi

Daripada jumlah itu, 307 guru melapor diri pada 1 Dis 2021, 8,120 melapor diri pada 1 Mac lalu dan 4,828 lagi akan melapor diri pada 4 April ini.

Radzi Jidin berkata, untuk kohort terbaharu lebih 4,000 guru, mereka akan ditempatkan bulan depan dan keputusan penempatan mereka sudah diumumkan.
LANGKAWI:
Seramai 13,225 guru baharu di bawah pengambilan khas secara “one-off” sudah melapor diri atau menerima penempatan masing-masing setakat ini.

Menteri Pendidikan, Radzi Jidin berkata, 307 guru telah melapor diri pada 1 Dis tahun lepas, 8,120 melapor diri pada 1 Mac lepas, manakala 4,828 lagi akan melapor diri pada 4 April ini.

“Alhamdulillah kita sudah selesai lebih 13,000 guru, untuk ‘batch’ atau kohort terbaharu, iaitu lebih 4,000 orang, mereka akan ditempatkan bulan depan dan keputusan penempatan mereka juga sudah pun keluar.

“Insya Allah baki lebih 5,000 guru, kita akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) supaya baki itu dapat diisi dan diselesaikan segera,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya berharap semua pengambilan guru secara “one-off” seramai 18,702 orang seperti yang diumumkan sebelum ini, dapat menyelesaikan isu kekurangan guru di sekolah Kementerian Pendidikan sejak sekian lama.

Menurutnya, apabila semua kekosongan itu diisi sepenuhnya, baharulah kementerian boleh memikirkan pengambilan guru baharu atas sebab lain, antaranya guru bersara dan mengisi keperluan di sekolah baharu.

“Isu kekurangan guru akan tetap berlaku, tetapi tidaklah sampai 18,000 seperti sebelum ini. Kita akan tutup yang ini dahulu, kemudian jika ada kekosongan dari semasa ke semasa, kita akan selesaikan berdasarkan keperluan,” katanya.

Terdahulu, Radzi menghadiri program penyampaian peranti digital Yayasan Didik Negara (YDN) dan Yayasan AEON Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Kelibang, di sini.

Mengulas mengenai program itu, Radzi berkata, kementeriannya di peringkat akhir menyiapkan rangka dasar pendidikan digital dan sumbangan peranti digital kepada pelajar sekolah dapat mempersiapkan mereka sebelum dasar itu diperkenalkan.

“Kita berharap dapat bekerjasama menerusi YDN dengan pelbagai pihak untuk memastikan kita dapat melaksanakan dasar pendidikan digital itu nanti, termasuk sumbangan peranti digital oleh pelbagai pihak untuk anak-anak kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.