

Zaharom Nain dari Universiti Nottingham Malaysia menyifatkan cadangan yang diumumkan Ismail ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) itu sebagai kurang jelas.
Pelajar asing di Malaysia sudah pun diwajibkan mengambil mata pelajaran BM Komunikasi.
Tonton video di sini.
Bagaimanapun, menurut Elajsolan VM Mohan daripada Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta, kelulusan dalam mata pelajaran itu tidak diperlukan untuk pelajar asing melanjutkan pelajaran mereka.
“Pengumuman dasar ini kedengaran seperti (bersifat) ad hoc, berinspirasikan politik, tentang sesuatu yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas,” kata Zaharom, yang juga pengerusi kumpulan akademik GERAK.
Beliau berkata, walaupun tiada salahnya dengan hasrat Ismail untuk mempopularkan bahasa Melayu, beliau ragu-ragu sama ada rancangan itu “dipertimbangkan dengan baik” sebelum diumumkan.
Katanya, butiran lanjut diperlukan dan pihak berkuasa perlu menjelaskan sama ada pelajar asing perlu menduduki kertas BM setiap semester atau hanya modul satu semester atau setahun.
“Adakah mereka hanya perlu menduduki kertas itu atau perlu lulus kertas itu untuk maju atau tamat pengajian?”

Ahli akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia Teo Kok Seong juga meminta penjelasan lanjut sama ada kelulusan dalam mata pelajaran itu wajib atau tidak – apa yang difahaminya, lulus tidak wajib.
Beliau berkata, Ismail harus diberi peluang untuk memberi penjelasan lanjut walaupun pengumumannya itu mungkin bermotifkan politik.
“Saya berpendapat, wujud kesahihan di sebalik pengumuman dasar itu, memandangkan beliau sebelum ini pernah membuat kenyataan mengenai kepentingan memperkasakan penggunaan BM di negara ini.
“Pada Februari, beliau mengumumkan bahawa BM akan digunakan dalam semua majlis rasmi, termasuk juga di peringkat antarabangsa,” katanya.