Ketua Hakim Syarie, Lokman selesai saman fitnah luar mahkamah

Ketua Hakim Syarie, Lokman selesai saman fitnah luar mahkamah

Peguam Akberdin Abdul Kader, berkata bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu telah mengemukakan permohonan maaf dan berasa kesal beliau 'disalah maklum' oleh pihak ketiga.

Ketua Hakim Syarie Mohd Na’im Mokhtar (kiri) mendakwa Lokman Noor Adam membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung kes gangguan seksual.
KUALA LUMPUR:
Saman fitnah difailkan oleh Ketua Hakim Syarie Mohd Na’im Mokhtar terhadap Lokman Noor Adam, yang dikatakan membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung kes gangguan seksual, diselesaikan di luar mahkamah.

Ini susulan penghakiman persetujuan yang direkodkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusoff pada prosiding dalam talian hari ini, yang turut dihadiri Na’im dan Lokman.

Peguam Na’im, Akberdin Abdul Kader berkata, Lokman, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, mengemukakan permohonan maaf dan menzahirkan kekesalannya kerana beliau “disalah maklum” oleh pihak ketiga dan tidak membuat pengesahan dengan plaintif.

Beliau turut bersetuju untuk tidak mengulangi kenyataan yang menyinggung perasaan itu.

“Terma dan syarat lain penyelesaian tidak boleh didedahkan seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” kata Akberdin kepada FMT.

Selain Akberdin, Na’im turut diwakili peguam Mohd Rafie Shafie, manakala Logen Eskander dan Nur Fazilah Jaafar mewakili Lokman.

Logen mengesahkan dalam mesej teks kepada FMT perkembangan yang berlaku semasa prosiding.

Lokman mendakwa Na’im terlibat dalam beberapa kes gangguan seksual, termasuk insiden beliau dikatakan berbaring bogel di dalam bilik tidur di rumah seorang wanita.

Na’im, yang juga ketua pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, memfailkan saman terhadap Lokman dengan mendakwa beliau membuat kenyataan yang menghina di Facebook dan YouTube.

Pada 20 Jan, Rozana memerintahkan Lokman menurunkan semua catatan berunsur fitnah yang dimuat naik di akaun Facebook dan YouTube dalam tempoh 24 jam selepas membenarkan permohonan injunksi ex parte oleh Na’im.

Na’im berkata, kenyataan itu membayangkan beliau seorang “penunggang agama”, gagal menjadi pemimpin yang berwibawa atau menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej baik Jabatan Kehakiman Syariah.

Katanya, beliau telah membuat laporan polis pada 12 Jan untuk menafikan dakwaan wanita itu, yang dikatakan seorang “Datin”, dan terhadap Lokman atas penyiaran videonya.

Na’im menuntut RM30 juta sebagai ganti rugi am, teladan, teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.