Kesiapsiagaan hadapi kesan perubahan ekstrem iklim antara fokus Parlimen hari ini

Kesiapsiagaan hadapi kesan perubahan ekstrem iklim antara fokus Parlimen hari ini

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, pertanyaan itu akan diajukan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) kepada Menteri Wilayah Persekutuan semasa sesi soal jawab.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kesiapsiagaan Kuala Lumpur dalam berdepan kesan iklim yang semakin ekstrem termasuk banjir dan tanah runtuh untuk tempoh 20 tahun akan datang adalah antara isu yang bakal dikupas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu akan diajukan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) kepada menteri Wilayah Persekutuan semasa sesi soal jawab.

Turut tersenarai, soalan Salahuddin Ayub (PH-Pulai) yang meminta perdana menteri menyatakan langkah-langkah proaktif kerajaan untuk meningkatkan kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menghadapi kes-kes rasuah yang semakin kritikal.

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) pula akan meminta perdana menteri menyatakan usaha bagi mengekang penyebaran ajaran dan fahaman salah berbanding panduan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti fahaman bidaah dan khurafat yang masih berlaku dalam masyarakat.

Selesai sesi tersebut, bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 dijangka dikemukakan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.