Kabinet Sabah secara dasar lulus cadangan had tempoh jawatan KM

Kabinet Sabah secara dasar lulus cadangan had tempoh jawatan KM

Cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat DUN Sabah akan datang sekiranya semua ADUN bersetuju untuk meminda Perlembagaan Negeri berkaitan perkara tersebut.

Semua aspek perundangan berkaitan akan dibincang oleh Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah bagi melihat setiap implikasi jika perlembagaan negeri berkaitan tempoh jawatan ketua menteri dipinda. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Jemaah Kabinet Sabah secara dasarnya meluluskan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Abidin Madingkir berkata, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat DUN Sabah akan datang sekiranya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju untuk meminda perlembagaan negeri berkaitan perkara tersebut.

“Sebenarnya cadangan ini memang baik. Kalau kita lihat di peringkat (kerajaan) persekutuan juga, sudah ada cadangan ini untuk mengehadkan tempoh pelantikan (jawatan) perdana menteri.

“Kalau kita lihat pula di negara-negara Barat yang maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara lain, mereka juga mengehadkan tempoh pelantikan presiden dan perdana menteri masing-masing.

“Jadi, saya nyatakan di sini lagi, sekiranya semua (ADUN) bersetuju mengenai cadangan ini (mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal), kita akan bawa ke persidangan DUN akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) yang ingin tahu sama ada kerajaan Sabah bercadang untuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan had tempoh pelantikan ketua menteri kepada dua penggal sahaja.

Abidin berkata, sokongan semua wakil rakyat diperlukan untuk membawa cadangan itu ke mesyuarat DUN Sabah agar ia dapat direalisasikan.

Semua aspek perundangan berkaitan cadangan itu akan dibincangkan oleh pegawai daripada Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah bagi melihat setiap implikasi sekiranya perlembagaan negeri berkaitan tempoh jawatan ketua menteri dipinda, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.