
Penganalisis Azmi Hassan berkata, Amanah dan DAP harus bekerjasama dengan MUDA, iaitu parti berasaskan belia yang baharu ditubuhkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bagaimanapun seorang lagi penganalisis, Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, kedua-duanya itu tidak harus menjalin pakatan dengan mana-mana parti baharu sebaliknya harus meneruskan kerjasama dengan rakan lama.
Tonton video di sini.
Azmi yang juga felo kanan di Akademi Nusantara berkata, MUDA mempunyai potensi berdasarkan pencapaian yang ditunjukkannya pada PRN Johor. Parti itu menang satu kerusi dan memperoleh 48,072 undi atau 3.46% daripada semua undi yang dibuang.
“Walaupun MUDA hanya menang satu kerusi (pada PRN Johor), ia melakukannya dengan sangat baik jika melihat berdasarkan undi popular,” katanya.
“Rakyat sokong idea politik MUDA,” kata Azmi kepada FMT.
Katanya, MUDA membawa nafas segar dan merupakan sebuah parti “tanpa apa-apa liabiliti” selain membuka pintunya kepada semua kaum dan agama.
Amanah dan DAP harus melupakan kerjasama dengan parti dari Sabah, Warisan dan Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad kerana pengundi melihat Warisan hanya untuk rakyat Sabah manakala Pejuang pula kurang sokongan akar umbi.
Bagaimanapun Azmi berkata, sekiranya DAP dan Amanah perlu memilih antara PKR atau bekerjasama dengan Warisan dan Pejuang, adalah lebih baik mereka kekal dengan parti pimpinan Anwar Ibrahim yang “masih mempunyai pengaruh – kecuali ia mungkin ada masalah dengan pemimpin mereka.”
PKR memperoleh 82,556 undi atau 5.93% daripada semua undi yang dibuang pada PRN Johor.
Fauzi percaya DAP dan Amanah harus kekal dengan status quo.
Tanpa PKR, “DAP merupakan parti terbesar dan paling senior dalam gabungan baharu dan akan berada di hadapan untuk memimpin,” katanya.