Vaksin CanSino dilulus sebagai dos penggalak, kata KKM

Vaksin CanSino dilulus sebagai dos penggalak, kata KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata permohonan untuk dos penggalak jenis CanSino akan dibuka di MySejahtera, tidak lama lagi.

KKM menyatakan mereka yang mengambil vaksin primer Sinovac atau Cansino Bio sesuai untuk mengambil vaksin ini sebagai dos penggalak. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini, meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 CanSino untuk digunakan sebagai dos penggalak heterologus atau pemvaksinan secara campuran.

KKM dalam satu kenyataan di laman sesawangnya, hari ini, memaklumkan permohonan untuk dos penggalak jenis CanSino akan dibuka di MySejahtera tidak lama lagi.

Dalam kenyataan sama, KKM menyatakan mereka yang mengambil vaksin primer Sinovac atau Cansino Bio sesuai untuk mengambil vaksin ini sebagai dos penggalak.

“Manakala, tempoh layak untuk pengambilan dos ini selepas dos primer adalah sekurang-kurangnya tiga bulan,” kata kenyataan itu memetik laporan Bernama.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Solution Group Bhd (SGB) Dr Mohd Nazlee Kamal, berkata kelulusan KKM itu memberi rakyat Malaysia lebih banyak pilihan vaksin untuk suntikan dos penggalak.

Anak syarikat milik penuhnya, Solution Biologics Sdn Bhd, merupakan rakan kongsi pembuatan ASEAN bagi vaksin Convidecia oleh CanSino Biologics Inc.

Nazlee berkata, kelulusan itu juga bermakna Convidecia kini membantu usaha kerajaan untuk pemberian dos penggalak dalam memerangi varian Omicron terutamanya kumpulan berisiko.

“Penggunaan dos penggalak daripada vaksin berbeza dengan vaksin yang diberikan sebelum ini juga lebih berkesan dengan tindak balas imun lebih tinggi berbanding menggunakan vaksin sama untuk suntikan dos penggalak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.