Perlis benar kehadiran jemaah tanpa terikat status vaksinasi, titah Raja Muda

Perlis benar kehadiran jemaah tanpa terikat status vaksinasi, titah Raja Muda

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah kanak-kanak juga dibenarkan hadir menunaikan solat dan mengikuti aktiviti pengimarahan masjid.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis membenarkan jemaah di negeri itu menyertai aktiviti pengimarahan masjid tanpa terikat dengan status vaksinasi, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
KANGAR:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membenarkan jemaah di negeri ini menyertai aktiviti pengimarahan masjid tanpa terikat dengan status vaksinasi, susulan kini negara memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kanak-kanak juga dibenarkan hadir menunaikan solat dan mengikuti aktiviti pengimarahan masjid, namun larangan tetap dikenakan terhadap individu yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti wabak Covid-19.

“Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan sebagainya kekal dilarang untuk hadir ke masjid,” titah baginda menerusi satu kenyataan dikeluarkan MAIPs, hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, jemaah turut dibenarkan menunaikan solat tanpa penjarakan fizikal, tetapi bagi aktiviti lain seperti kuliah agama masih diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.

“Beta berharap fasa peralihan ke endemik ini menjadi permulaan baharu kepada semua untuk menempuh normalisasi pasca-Covid-19 nanti,” titah baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.