Bantu Sapura daripada muflis, Najib beritahu kerajaan

Bantu Sapura daripada muflis, Najib beritahu kerajaan

Bekas Perdana Menteri berkata kerajaan perlu segera membantu Sapura Energy menyelesaikan masalah aliran tunai demi memelihara kepentingan strategik negara.

Najib Razak menyarankan kerajaan memberi pinjaman faedah mudah atau jaminan pinjaman kepada Sapura Energy bagi menyelesaikan masalah aliran tunai seperti dilakukan BN untuk menyelamatkan Proton.
PETALING JAYA:
Tindakan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak membantu dan mengambil ringan masalah Sapura Energy adalah kurang tepat, kata bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Beliau berkata, kerajaan perlu segera membantu Sapura Energy menyelesaikan masalah aliran tunai demi memelihara kepentingan strategik negara.

“PNB dan kerajaan perlu fikir tentang kepentingan strategik negara, ekosistem vendor Bumiputera, pekerjaan nilai tinggi bagi rakyat serta ekonomi keseluruhan negara, bukan hanya sekadar ianya cuma satu lagi pelaburan sahaja,” katanya di Facebook.

Sehubungan itu, Najib menyarankan kerajaan memberi pinjaman faedah mudah atau jaminan pinjaman kepada Sapura Energy bagi menyelesaikan masalah aliran tunai seperti dilakukan Barisan Nasional (BN) untuk menyelamatkan Proton.

“Ini mungkin penyelesaian sementara sebab sekiranya masih dimiliki PNB yang kurang pengalaman bagi sektor ini dan telah membuat keputusan yang kurang tepat sebelum ini, masalah mungkin berulang pada masa depan,” katanya.

Mengambil contoh bagaimana Petronas menyelamatkan syarikat MISC pada 1998, Najib turut mencadangkan kerajaan mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional mengambil pemilikan Sapura Energy daripada PNB.

Ini kerana, menurutnya, Petronas masih memerlukan perkhidmatan Sapura bagi projek mereka serta lebih memahami sektor ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata, jika Sapura Energy muflis beberapa kesan buruk akan berlaku antaranya pelabur ASB, PNB, KWSP dan lain-lain tabung simpanan rakyat berdepan kerugian, selain hampir 10,000 pekerjaan bergaji tinggi akan hilang.

“Jika Sapura Energy muflis, sekitar 4,500 vendor/pembekal akan terjejas, kebanyakannya merupakan syarikat Bumiputera. Malaysia akan kehilangan syarikat perkhidmatan petroliam terbesar negara bagi sektor paling penting negara.

“Malaysia juga akan kehilangan sebuah syarikat MNC sebab Sapura juga banyak memenangi dan mengusahakan projek di lebih 30 negara asing,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Sapura Energy Bhd memaklumkan bahawa tiga lagi anak syarikatnya diserahkan petisyen pembubaran pada 7 dan 9 Mac lalu disebabkan tidak dapat menyelesaikan sejumlah pembayaran tertunggak.

Kerugian bersih Sapura Energy untuk tahun kewangan berakhir 31 Jan 2022 meningkat kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.