
Presidennya, Shafie BP Mammal berkata, mereka menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa kerajaan akan melaksanakan gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei depan.
Bagaimanapun, Shafie berkata, gaji baharu itu tidak seharusnya terhad kepada syarikat swasta yang mempunyai lima pekerja atau lebih, seperti disebut Ismail.
Beliau berkata, Perdana Menteri telah menyebut bahawa kenaikan gaji minimum adalah untuk mengurangkan beban pekerja terutama kumpulan berpendapatan rendah B40.

“Jadi mengapa majikan tertentu diberi pengecualian?
“Dan kenapa gaji minimum ini hanya terpakai kepada syarikat swasta yang mempunyai lima pekerja atau lebih? Bagaimanakah ini akan membantu pekerja B40 yang lain yang sedang bergelut?” soalnya.
Shafie juga memberitahu FMT bahawa kerajaan tidak seharusnya mengetepikan pekerja tempatan kerana mereka juga menderita.
Beliau berkata, tambahan RM300 itu, berbanding gaji minimum sebelum ini iaitu RM1,200, akan memberi sedikit kelegaan kepada pekerja miskin, walaupun ia masih agak rendah, memandangkan kerajaan menyasarkan untuk membasmi kemiskinan sepenuhnya.
“UNI-MLC mahu desakan ini untuk melaksanakan gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei diwartakan segera supaya ia tidak kekal sebagai pengumuman sahaja.
“Kita tidak mahu kerajaan dikenakan tekanan mana-mana pihak dan tarikh pelaksanaannya ditangguhkan. Kami tidak mahu mengecewakan pekerja.”
Shafie turut menggesa semua majikan mematuhi keputusan kerajaan dan berpegang pada tarikh 1 Mei untuk pelaksanaan gaji minimum baharu.