‘Kamu bukan presiden’, Majlis Am MTUC beritahu Halim

‘Kamu bukan presiden’, Majlis Am MTUC beritahu Halim

Halim Mansor mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan Majlis Am yang tidak mengiktirafnya sebagai Presiden MTUC.

Halim Mansor ketika mesyuarat Majlis Am MTUC hari ini.
SHAH ALAM:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak mengiktiraf Halim Mansor sebagai presiden walaupun pencabar lain menarik diri dalam perebutan jawatan itu.

Majlis Am yang mengadakan mesyuarat hari ini menegaskan Timbalan Presiden, Mohd Effendy Abdul Ghani kini menjadi pemangku presiden.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor memberitahu FMT bahawa majlis itu sudah memutuskan untuk mengekalkan status quo sehingga pemilihan akan datang pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali yang dijadualkan akhir tahun ini.

“Hari ini, majoriti ahli Majlis Am mengundi untuk mengekalkan kekosongan jawatan presiden dan memilih Effendy sebagai Pemangku Presiden sehingga pemilihan akan datang. Kami kemudian akan memutuskan siapa akan menjadi presiden,” kata Kamarul.

Beliau juga berkata, Majlis Am memutuskan untuk membuat pemilihan pada awal Julai depan.

Halim memberitahu FMT, dia amat kecewa kerana dinafikan jawatan yang sah dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Majlis Am itu.

“Saya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan Majlis Am itu. Ia bertindak seolah-olah lebih tinggi daripada perlembagaan MTUC sendiri. Tiada peruntukan untuk pemangku presiden dalam perlembagaan,” katanya.

Kamarul menjelaskan, Halim mempunyai hak untuk berbuat demikian dan Majlis Am tidak akan membantah.

“Itu haknya, sama seperti mana-mana warganegara Malaysia yang lain,” katanya.

Lebih 12 ahli Majlis Am yang sehaluan dengan Halim bertindak keluar daripada mesyuarat hari ini berkata, tindakan kepimpinan itu adalah “ultra vires” perlembagaan MTUC.

Effendy memberitahu keputusan Majlis Am perlu dihormati.

“Ini kerana perlembagaan kita menyatakan sekiranya terdapat sebarang keraguan dalam peruntukannya, Majlis Am akan memutuskan perkara itu,” katanya.

Hari ini, kongres mengadakan mesyuarat agung pertamanya sejak perebutan jawatan presiden selama 30 bulan berakhir dengan seorang pencabar menarik diri daripada perebutan itu.

Pada pemilihan kongres 2019, Halim dan bekas Timbalan Presiden, Mohd Jafar Abd Majid memperoleh jumlah undian sama dengan pencabar ketiga Nor Azlan Yaacob.

Ini menyebabkan Majlis Am melantik timbalan sebagai pemangku presiden sementara menunggu pemilihan semula.

Menurut Halim, Kamarul tidak mengikut perlembagaan melantik Timbalan Presiden Effendy sebagai pemangku dan cuba mencalonkannya sebagai ahli lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Halim dan ahli Majlis Am lain berhujah bahawa pelantikan itu adalah “ultra vires” perlembagaan MTUC memandangkan Peraturan 7(13) menyatakan bahawa tiada peruntukan untuk pemangku presiden.

Pada 15 Mac lalu, Jafar menyerahkan surat penarikan diri kepada pimpinan MTUC dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Jafar berkata, beliau menarik diri daripada pertikaian itu untuk meletakkan MTUC kembali ke landasan betul, sambil menambah bahawa Halim kini boleh mengambil alih kongres itu.

Susulan itu Halim berharap “pemimpin semasa” kesatuan menerima hakikat bahawa beliau kini adalah presiden berikutan penarikan diri pencabarnya untuk jawatan dipertikaikan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.