
Lim tidak boleh dipilih semula ke jawatan itu setelah mencapai had maksimum tiga penggal namun dijangka masih mempunyai pengaruh yang kuat kerana berkemungkinan kekal dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti.
Seramai 4,149 perwakilan akan menghadiri kongres sehari secara fizikal itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam dan mengundi dalam CEC, yang akan membawa parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Ahli CEC akan memilih pemegang jawatan dalam parti.
Ahli Parlimen Seremban dan Setiausaha Penganjur Kebangsaan DAP Loke Siew Fook, yang disebut-sebut bakal menggantikan Lim, adalah antara 93 calon yang bertanding untuk 30 jawatan CEC bagi penggal 2022-2025.
Calon CEC lain termasuk bapa Lim dan veteran parti Kit Siang, Pengerusi parti dan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, Naib Pengerusi dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta anak-anak lelaki mendiang Karpal Singh – Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, dan Ramkarpal Singh.
Berikutan perkembangan penting pada kongres kebangsaan lepas, parti itu akan menyaksikan lebih ramai wakil wanita dalam CEC baharu.
Pada kongres lepas, perlembagaan parti dipinda bagi memperuntukkan kuota 30% untuk wanita dalam CEC, yang bermakna terdapat sekurang-kurangnya sembilan wanita dalam jawatankuasa baharu itu.
Lima ahli CEC wanita untuk penggal 2018-2021 adalah Teresa Kok (Timbalan Ketua Setiausaha), Yeo Bee Yin (Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan), Teo Nie Ching (Setiausaha Antarabangsa) dan ahli jawatankuasa Chong Eng dan Jannie Lasimbang.
Sementara itu, antara calon Melayu dalam pemilihan parti adalah Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan merangkap Exco kerajaan Pulau Pinang Zairil Khir Johari, Naib Pengerusi Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali, ADUN Perak bagi Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari dan Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan yang juga ADUN Ketari Young Syefura Othman.