
Beliau berkata, partinya mempunyai budi bicara jika istana ada pilihannya sendiri.
“Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Hasni Mohammad, bagaimanapun dalam ucapannya semasa umum kemenangan Barisan Nasional (BN), beliau nyatakan jika diperkenan oleh istana.
“Maksudnya, kita ada budi bicara dengan istana. Jadi, kita cadang nama Hasni, tetapi kalau istana ada pilihan lain, itu hak istana meletakkan sesiapa yang istana fikir (sesuai) untuk tadbir Johor,” katanya kepada FMT.
Rabu lepas, Ketua Penyelidikan Ilham Center Yusri Ibrahim berkata, Umno harus menjawab kepada pengundi Johor mengapa Hasni tidak dilantik sebagai Menteri Besar sedangkan beliau dijanjikan untuk menyandang jawatan tersebut jika parti itu menang pada pilihan raya negeri (PRN).
Yusri berkata, faktor Hasni sendiri turut membantu memberi pecutan sehingga membawa kepada kemenangan bergaya Umno pada PRN kali ini.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Onn Hafiz Ghazi, 43, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu pada Selasa.
Terdahulu, Hasni yang juga ADUN Benut dinamakan sebagai calon tunggal Menteri Besar oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi ketika kempen PRN Johor.
Dalam pada itu, Razlan berkata, parti politik juga mengetahui kuasa melantik Menteri Besar sememangnya terletak pada istana.
Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mencadangkan Nizar Jamaluddin sebagai calon Menteri Besar Perak, tetapi yang dipilih istana adalah Ahmad Faizal Azumu.
“Pembangkang pun saya rasa tidak perlu mempolemikkan isu ini sebab di Perak tempoh hari kita tahu bahawasanya parti mereka mahukan Nizar, tetapi sultan mahu Peja (Faizal) jadi Menteri Besar.
“Maksudnya, istana ada budi bicara untuk berbincang melantik Menteri Besar dan ia satu proses yang biasa,” katanya.