
RUU yang turut membabitkan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri sepatutnya dibentangkan di sidang semasa Dewan Rakyat.
Wan Junaidi berkata, RUU ini memerlukan penelitian lanjut melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan lain, khususnya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan pindaan itu mendapat sokongan di Dewan Rakyat.
“Di bawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, sokongan majoriti 2/3 di Dewan diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan surat kepada semua pemimpin parti beserta borang soal selidik untuk dijawab berkaitan RUU itu.
“Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada keseluruhan sembilan sesi libat urus yang saya telah adakan bersama pelbagai pihak, seperti ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta parti komponen, termasuk di Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.”
Wan Junaidi berkata, sebaik sahaja menerima maklum balas semua pihak dan mendapat kelulusan Kabinet, RUU itu akan dibentangkan dalam sidang khas Parlimen selaras Peraturan 11(3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Katanya, kerajaan komited dan akan meneruskan usaha merealisasikan penggubalan RUU itu demi memastikan kestabilan politik negara di tahap terbaik.
Pada 14 Feb lalu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim memberi kata dua kepada Perdana Menteri untuk membentangkan RUU itu pada sidang Dewan Rakyat kali ini atau memorandum persefahaman (MoU) dimeterai bersama kerajaan akan “terbatal dengan sendiri”.