Perlu ketelusan dalam projek rangkaian 5G, kata pemimpin PKR

Perlu ketelusan dalam projek rangkaian 5G, kata pemimpin PKR

Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh mempersoalkan syarikat mana yang akan berkongsi 70% ekuiti DNB.

Minggu lalu kerajaan berkata, DNB menerima pembiayaan sebanyak RM1.7 bilion daripada institusi kewangan bagi projek rangkaian 5G.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR mengalu-alukan keputusan kerajaan mengekalkan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) bagi rangkaian 5G tetapi berkata, ia memerlukan ketelusan dan integriti dalam pelaksanaannya.
Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.

Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ketelusan dan perancangan rapi dengan mengambil kira maklum balas pelbagai pihak harus menjadi teras amalan dalam semua usaha serta inisiatif kerajaan.

“Bukan hanya setelah didesak,” kata Ahli Parlimen Ledang itu dalam kenyataan.

Rabu lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz berkata, model SWN dikekalkan untuk pelaksanaan rangkaian 5G dan kerajaan turut menawarkan sehingga 70% pegangan ekuiti Digital Nasional Berhad (DNB) kepada syarikat telekomunikasi lain dengan baki 30% lagi dipegang oleh kerajaan.

Syed Ibrahim juga mempersoalkan syarikat mana yang akan berkongsi ekuiti DNB, selain cara untuk menetapkan harga kos dan harga kepada pengguna melalui kaedah perkongsian ekuiti itu.

“Apakah kebarangkalian kelewatan dalam pelaksanaan inisiatif 5G mengambil kira masalah yang dihadapi sebelum teknologi ini diguna pakai?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan kesan dan aliran kewangan inisiatif 5G kerana perubahan itu turut memberi impak kepada aspek kewangan.

“Apakah perincian skop dan peranan DNB dan MNO (pengendali rangkaian mudah alih) lain berdasarkan pengenalan kaedah perkongsian ekuiti?”

Pada 10 Mac, kerajaan dilaporkan berkata, DNB menerima pembiayaan sebanyak RM1.7 bilion daripada institusi kewangan bagi projek rangkaian 5G.

Perkhidmatan rangkaian 5G kini tersedia di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya dan akan diperluaskan ke Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan serta Melaka tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.