Pejuang takkan menyerah, kata Dr M susulan kekalahan teruk di Johor

Pejuang takkan menyerah, kata Dr M susulan kekalahan teruk di Johor

Parti itu akan terus menekankan dan memperjuangkan isu-isu keperluan rakyat, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata, partinya mengenal pasti tiga isu utama yang menyumbang kepada kekalahannya pada PRN Johor.
PETALING JAYA:
Pejuang tidak akan menyerah, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, walaupun parti itu kalah teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Johor yang menyaksikan kesemua 42 calonnya hilang deposit.

Pada sidang media, Mahathir, yang juga pengerusi Pejuang berkata, parti itu mengenal pasti tiga isu utama yang menyumbang kepada kekalahannya pada PRN yang berlangsung pada 12 Mac itu.

“Kita tumpu kuat (pada) usaha membanteras rasuah sehingga kita kurang menekankan (mengenai) masalah dihadapi oleh rakyat,” katanya.

“Masalah-masalah seperti pengangguran, tidak cukup makanan, ada yang kena halau dari rumah kerana tidak bayar sewa dan sebagainya, perkara ini tidak diberi tekanan yang sepatutnya, dan ini menyebabkan pengundi tidak tertarik dengan hujah kita berkenaan rasuah.”

Pejuang akan terus menekankan dan memperjuangkan isu-isu keperluan rakyat, katanya.

Dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semakin hampir, parti itu tidak banyak masa untuk membuat persediaan, katanya, tetapi ia tetap teguh dalam perjuangannya.

Berhubung kemungkinan bekerjasama dengan parti pembangkang lain, Mahathir berkata, cadangan ini antara yang dikemukakan oleh ahli-ahli partinya, namun ia perlu dikaji dengan mendalam.

Katanya, peratusan keluar mengundi yang rendah, iaitu 54.9%, pada PRN Sabtu lepas menggambarkan kelesuan politik, dan bahawa PRU15 tidak patut diadakan dalam masa terdekat.

“Jelas sekali ramai sudah bosan dengan politik dan mereka mengambil tindakan tidak mengundi,” katanya.

“Saya berpendapat, kalau kita adakan PRU dalam keadaan di mana seluruh rakyat tidak bersedia dan cuma orang tertentu akan gembira dan mengambil bahagian, kita akan dapat keputusan yang tidak baik untuk negara.

“Sebab itu, masa perlu diberi supaya negara, rakyat khususnya, akan mempunyai masa untuk menimbang baik-baik tentang apa yang mereka lakukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.