Dicari polis, tapi ‘tiada masalah’ bekas suami Indira beli kereta, kata Hamzah

Dicari polis, tapi ‘tiada masalah’ bekas suami Indira beli kereta, kata Hamzah

Ini kerana Muhammad Riduan Abdullah tidak pernah disabitkan atas kesalahan lalu lintas bawah Akta Pengangkutan Jalan, kata Hamzah Zainudin.

Muhammad Riduan Abdullah melarikan diri bersama anak perempuannya, Prasana, pada 2010. (Gambar Twitter)
KUALA LUMPUR:
Pihak berkuasa tidak boleh menghalang bekas suami M Indira Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah, daripada membeli dua kenderaan tujuh tahun lepas kerana tiada perintah mahkamah untuk menghentikan transaksi itu, kata Menteri Dalam Negeri.

Dalam jawapan Parlimen kepada Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan), Hamzah Zainudin berkata, Riduan tidak pernah disabitkan atas kesalahan lalu lintas bawah Akta Pengangkutan Jalan.

“Dalam erti kata lain, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya boleh menahan atau menggantung sebarang urus niaga setelah mendapat perintah, arahan atau sebarang keputusan daripada pihak mahkamah ke atas mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan sahaja.

“Usaha untuk mengesan kedudukan terkini (Riduan) juga masih diteruskan oleh pihak polis,” katanya.

Kasthuri bertanya kepada menteri berkenaan bagaimana Riduan boleh membeli dan mendaftarkan pemilikan dua kenderaan atas namanya walaupun sedang dijejaki polis.

Isu pemilikan kenderaannya didedahkan kepada Mahkamah Tinggi Ipoh pada November tahun lepas ketika mahkamah mempersoalkan keseriusan polis menjejakinya.

Pesuruhjaya Kehakiman Bhupindar Singh, yang memantau kemajuan pemantauan kehakiman ke atas waran komital terhadap Riduan dilaporkan bertanya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengapa polis tidak menyiasat urus niaga itu.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Nur Idayu Amir, yang mewakili polis, memberitahu mahkamah bahawa urus niaga kenderaan boleh dilakukan dalam talian.

Nur Idayu juga berkata, pihak berkuasa tidak dapat mengesan Riduan, isteri keduanya dan anak-anaknya.

Mahkamah Persekutuan pada 2016 mengarahkan Ketua Polis Negara untuk melaksanakan waran komital terhadap Riduan selepas dia didapati bersalah menghina mahkamah apabila enggan menyerahkan anak perempuan mereka, Prasana.

Prasana dilarikan daripada ibunya pada 2010.

Indira memfailkan saman terhadap polis pada 2020 atas ketiadaan tindakan mereka dalam melaksanakan waran terhadap Riduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.