Isu kemiskinan haid perlu ditangani lebih holistik, kata aktivis

Isu kemiskinan haid perlu ditangani lebih holistik, kata aktivis

Aktivis berkata penyediaan mesin layan diri sanitari seperti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Perak tidak cukup untuk menangani isu kemiskinan haid secara menyeluruh.

Kerajaan negeri Perak bercadang untuk menempatkan mesin layan diri sanitari di sekolah dan kawasan rekreasi sebagai salah satu langkah menangani isu kemiskinan haid.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak wanita menyambut baik langkah kerajaan negeri Perak memperkenalkan mesin layan diri tuala wanita namun berkata, terdapat keperluan untuk melihat isu kemiskinan haid dengan lebih holistik.

Penyelidik Projek All Women’s Action Society (AWAM) Asrawati Awalina Aslan berkata, mesin terbabit akan membolehkan mereka yang memerlukan untuk mengaksesnya dengan lebih mudah.

Bagaimanapun katanya, aspek lain dalam isu kemiskinan haid termasuk akses kepada sanitasi, infrastruktur kebersihan dan akses kepada maklumat yang betul mengenai haid juga perlu ditangani.

“Komuniti yang berbeza mungkin menghadapi aspek berbeza kemiskinan haid. Sebagai contoh, komuniti Orang Asli mungkin bukan sahaja berdepan masalah untuk mendapatkan produk sanitari tetapi juga kurangnya akses kepada infrastruktur kebersihan dan sanitasi serta kurang tahap kesedaran mengenai haid.

“Jadi penyediaan mesin layan diri sahaja kepada komuniti ini tidak cukup dalam menangani isu kemiskinan haid secara menyeluruh,” katanya.

Asrawati mengulas laporan bahawa Perak akan menyediakan mesin layan diri sanitari di sekolah dan kawasan rekreasi sebagai salah satu langkah untuk menangani masalah kemiskinan haid di negeri itu.

Sementara itu, Pegawai Advokasi dan Penyelidikan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Anis Farid berkata, adalah penting untuk mengetengahkan kerumitan isu kemiskinan haid di peringkat penggubalan dasar dan peruntukan bajet.

Katanya, peruntukan bajet mesti mempertimbangkan keperluan orang yang datang haid, termasuk akses yang betul kepada air, sanitasi dan kebersihan.

“Berunding dengan orang di kawasan luar bandar atau mereka yang bekerja secara langsung dengan komuniti ini seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik adalah juga sebahagian daripada penyelesaiannya,” katanya kepada FMT.

Pentingnya kemampuan

Asrawati turut menggesa kerajaan menyenaraikan produk sanitari sebagai barangan keperluan untuk dimasukkan ke dalam skim kawalan harga kerajaan bagi memastikan kemampuan orang ramai untuk mendapatkannya.

“Untuk mengimbangi kos pelaksanaan inisiatif ini, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk menyediakan tuala wanita secara percuma kepada komuniti yang mempunyai status sosioekonomi rendah dan di ruang tertentu seperti sekolah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.