Buruh dipenjara setahun, didenda RM10,000 tetak peguam

Buruh dipenjara setahun, didenda RM10,000 tetak peguam

M Samasiveng menetak kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang selepas ditegur tidak memakai pelitup muka di sebuah pasar raya.

Hakim Mahkamah Tinggi mendapati hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Selayang ke atas M Samasiveng pada 11 Mac lalu tidak mencukupi. (Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Seorang buruh yang didenda RM5,000 sebelum ini kerana menetak kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang akibat berang ditegur tidak memakai pelitup muka, hari ini diperintah menjalani hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah turut mengenakan denda RM10,000 ke atas M Samasiveng, 57, selepas membuat semakan terhadap hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Selayang pada 11 Mac lalu.

“Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan menyemak hukuman dijatuhkan sebelum ini, mahkamah mendapati hukuman itu tidak mencukupi.

“Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman Mahkamah Majistret dan mengenakan hukuman penjara setahun bermula hari ini dan denda RM10,000 atau 12 bulan penjara, jika gagal membayar denda,” kata hakim itu.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Samasiveng selepas mengaku bersalah mencederakan Gurcharan Singh, 60, menggunakan sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian terhadap mangsa di sebuah pasar raya di Taman Bersatu Rawang, Gombak pada 9 Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Isa Mohamed berhujah, tertuduh seharusnya lebih peka dengan keadaan negara dilanda Covid-19 dan tidak membuka pelitup muka serta merokok di tempat awam.

“Mengikut fakta kes, tertuduh menunggu mangsa di kaki lima pasar raya selepas ditegur dan ini menunjukkan jenayah yang dilakukan adalah terancang.

“Tertuduh mengambil senjata, iaitu parang dari keretanya, selepas bertengkar mulut dengan mangsa dan ini menunjukkan penggunaan senjata bukanlah bertujuan mempertahankan diri. Serangan dengan parang boleh menyebabkan kematian kepada mangsa,” katanya.

Peguam TP Aravind Raj yang mewakili Samasiveng, merayu hukuman ringan atas alasan Mahkamah Majistret telah mengambil kira faktor umur mangsa sudah tua dan perlu menjaga isteri serta cucunya.

“Punca kejadian ini adalah perbalahan mulut selepas mangsa menegur anak guam saya yang sedang merokok dan tidak memakai pelitup muka. Ia bukanlah kejadian dirancang kerana ketika kejadian, dia hanya membeli barangan runcit bersama isteri dan cucunya,” kata peguam itu.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam pemerhati dari Majlis Peguam, Nicholas Cheoh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.