Banyak parti lain nak sertai BN ‘kuat semula’, kata Zahid

Banyak parti lain nak sertai BN ‘kuat semula’, kata Zahid

Presiden Umno itu berkata, mana mungkin parti lain mahu menyertai BN, jika gabungan itu tidak kuat semula.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berbual dengan Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan yang merupakan tetamu dalam Perhimpunan Agung Umno 2021 pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat permohonan daripada parti lain untuk menyertai gabungan itu.

Presiden Umno itu mendakwa parti berkenaan menyuarakan hasrat demikian selepas melihat gabungan BN kembali kuat.

“Saya ingin kongsikan di sini, banyak parti lain mahu menyertai BN.

“Kalau bukan BN itu kuat semula, mana mungkin mereka memohon untuk kembali,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Limpur.

Zahid bagaimanapun tidak memperincikan parti mana yang memohon untuk menyertai BN.

Pemerintahan BN lebih 60 tahun terkubur selepas Pakatan Harapan (PH) menang besar dalam pilihan raya umum ke-14 pada 2018.

BN hanya memenangi 78 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi yang dipertandingkan.

Beberapa parti komponen BN kemudian meninggalkan gabungan itu, termasuk UPKO, LDP dan Parti Progresif Penduduk, manakala PBB, SUPP, PRS dan SPDP meninggalkan BN pada 12 Jun 2018 dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Turut keluar daripada BN selepas kekalahan PRU14 adalah Gerakan yang kini menjadi parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Kini BN hanya dianggotai empat parti komponen, iaitu Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Melihat kepada perkembangan positif penerimaan parti lain terhadap BN, Zahid meminta pemimpin parti komponen BN untuk berunding secara berhemah berhubung permohonan parti lain.

“(Presiden MCA) Wee Ka Siong, (Timbalan Presiden MIC) M Sarananan, (Timbalan Presiden PBRS) Arthur (Joseph Kurup) runding elok-elok supaya rakan-rakan yang mahu memohon untuk jadi parti gabungan, kita santuni dan layan dengan baik supaya kekuatan BN itu bangkit semula,” kata Zahid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.