Zahid jawab kontroversi MB Johor, bubar Parlimen esok

Zahid jawab kontroversi MB Johor, bubar Parlimen esok

Ahmad Zahid Hamidi dijadual menyampaikan ucapan dasar presiden pagi esok pada Perhimpunan Agung Umno sebelum dibahaskan perwakilan dari seluruh negara.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan menjawab mengenai isu pelantikan Menteri Besar Johor dan pembubaran Parlimen, esok pada Perhimpunan Agung Umno. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kontroversi mengenai pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu akan diperjelaskan dalam Perhimpunan Agung Umno esok, kata presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap kepada media, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga akan memperincikan suara parti yang mahu Parlimen dibubarkan segera bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kedua-dua persoalan ini saya akan jawab esok,” katanya selepas menghadiri persidangan tiga sayap Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Beliau ditanya mengenai isu pelantikan bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor walaupun pada awalnya Umno menampilkan Hasni Mohammad sebagai calon tunggal untuk jawatan itu ketika kempen pilihan raya negeri (PRN).

Ia menimbulkan sedikit ketegangan dalam kalangan ahli Umno termasuk pemimpin veterannya, Shahrir Samad yang membuat kenyataan terbuka tidak bersetuju dengan pilihan itu.

Beliau juga dilaporkan “malu” untuk hadir ke PAU setelah Hasni tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar Johor susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor, 12 Mac lalu.

Laporan sebelum ini mendakwa seramai 38 daripada 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno memberikan sokongan kepada Hasni untuk dilantik menjadi menteri besar namun tidak mendapat perkenan Sultan Johor.

Zahid dijadual menyampaikan ucapan dasar presiden pagi esok sebelum ia dibahaskan oleh perwakilan PAU dari seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.