
“Gaji dan pencen mereka (perkhidmatan awam) merangkumi kira-kira 45% peruntukan operasi bagi kerajaan persekutuan,” katanya dalam majlis dianjurkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, hari ini.
Selepas mengambil kira pembayaran statutori seperti pembayaran hutang dan geran kepada kerajaan negeri, tidak banyak yang berbaki dalam perbelanjaan operasi untuk penyelenggaraan kemudahan awam, katanya.
Sheriff berkata, pengurangan perbelanjaan dalam perkhidmatan awam perlu dilaksanakan secara berperingkat dan beliau mencadangkan pendekatan itu diperkenalkan seperti diamalkan dalam sektor swasta.
Beliau berkata, mereka yang gagal atau enggan menunjukkan prestasi terbaik perlu ditawarkan persaraan lebih awal sementara kenaikan pangkat dan perjawatan dibuat berdasarkan merit tanpa mengira kaum atau agama.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya Norma Mansor berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) perlu memastikan perjawatan yang diisi dalam sektor awam dilakukan dengan lebih strategik.
“Kenaikan pangkat dan latihan perlu ditumpukan dalam mempromosi pembangunan bakat lebih baik,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, langkah melaksanakan perubahan dalam perkhidmatan awam berdepan kesukaran susulan kenaikan pangkat dibuat berasaskan kekananan selain membabitkan jumlah besar penjawat awam.
Norma menyuarakan kebimbangan berhubung kekangan peruntukan yang mungkin akan menafikan generasi baharu penjawat awam daripada menerima latihan lebih bernilai seperti diterima penjawat awam kanan sebelum ini.
Beliau turut menekankan keperluan latihan yang betul untuk membantu mereka lebih memahami sektor swasta dan berkesan di peringkat global.